ZUK merupakan salah satu syarikat yang mempunyai sokongan daripada pihak Lenovo. Baru-baru ini, mereka telah memperkenalkan ZUK Z1 untuk pasaran China, malah menjadi salah satu peranti yang menerima pra-tempahan yang tinggi – iaitu sehingga 2 juta pra-tempahan dalam masa seminggu.
Selain daripada pasaran di China, ZUK Z1 juga akan dipasarkan untuk pasaran global. Menariknya, versi antarabangsa ini akan hadir dengan sistem operasi Cyanogen.
Sebelum ini, antara peranti yang hadir dengan sokongan Cyanogen secara terbina adalah OnePlus One, selain Oppo N1 yang turut mempunyai sokongan rasmi untuknya daripada Cyanogen.
ZUK Z1 hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan HD penuh, dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 801, memori 3GB RAM, dan ruangan storan 64GB. Peranti ini turut menyertakan kamera 13-megapixel menggunakan sensor daripada Sony pada bahagian belakang, selain kamera hadapan 8-megapixel. Ia turut menggunakan bateri berkapasiti 4100mAh.
Beberapa ciri-ciri baru yang disertakan pada telefon pintar ini adalah termasuk sokongan USB Type-C, serta pengimbas cap jari padanya.
Buat masa ini, mereka tidak mengumumkan lagi negara manakah yang akan menerima peranti ini secara rasminya.