Cari @ Amanz

Pada akhir tahun lalu Alcatel telah hadir dengan peranti telefon pintar memfokuskan selfie dibawah label ‘Flash’. Pada hari ini TCL telahpun mengumumkan kesediaan peranti Alcatel OneTouch Flash Plus dan dijual melalui Lazada pada harga RM 549, lebih murah dari harga versi sebelumnya dan turut membawakan beberapa kemaskini menarik untuk peranti ini.

Alcatel OneTouch Flash Plus -IMG_0076

Alcatel OneTouch Flash Plus
Pemproses MediaTek 1.5GHz Octa-Core 64-bit
Skrin 5.5-inci IPS 1280×720
RAM 2GB
Muatan Dalaman 16GB + Menyokong kad Mikro-SD
Kamera Utama 13MP + LED Flash
Kamera Hadapan 8MP + Autofocus
OS Android KitKat
Bateri 3,500 mAH

Dari segi rekabentuk, peranti ini lebih nipis dan lebih ringan dari versinya yang terdahulu serta menampilkan rekaan Unibody. Seperti peranti Unibody yang lain, dua slot kad SIM dan juga kad Mikro-SD terletak dibahagian tepi peranti ini. Telefon yang menyokong dua rangkaian telekomunikasi ini turut menyokong rangkaian 4G namun slot kad Mikro-SD hanya menyokong storan sehingga 32GB.

Telefon Alcatel OneTouch Flash Plus ini mempunyai skrin 5.5 inci dengan resolusi 1280x 720 267 PPI. Pada saiz sebegini ia sekaligus meletakkan Alcatel One Touch Flash Plus dalam kategori phablet. Cip pemprosesan telefon ini juga telah dipertingkat, menyertakan cip MediaTek 1.5GHz lapan-teras 64-bit dan 2GB RAM. Storan dalaman pada telefon ini pula sebesar 16GB. Sensor pengimejan pada kamera hadapan bersaiz 8MP dengan fungsi pemfokuskan automatik serta sensor dibelakangnya adalah sebesar 13MP dan meskipun paparannya hanya 720p, ia mampu merakam video 1080p 30FPS.

Sebagai telefon yang memfokuskan kepada Selfie, terdapat beberapa fungsi yang menarik bagi memudahkan pengguna merakam gambar Selfie mereka. Ini termasuklah pengecaman suara yang membolehkan gambar ditangkap dengan kata kunci ‘Capture’ atau ‘Cheese’, sekaligus memudahkan pengguna. Selain itu fungsi penetapan ‘Fix Me’ dilihat memudahkan pengguna menetapkan kualiti gambar, mengubah nilai ISO, Contrast, Brightness dan sebagainya pada satu halaman tetapan.

Menggunakan peranti ini, salah satu perkara yang kurang digemari adalah sistem operasinya yang masih menggunakan Android 4.4.4 KitKat namun menurut wakil mereka mungkin kemaskini Android Lollipop tidak rasmi akan hadir untuk peranti ini. Meskipun begitu, dalam tempoh singkat mencuba peranti ini ia agak lancar dan tiada sebarang lengah masa, berkemungkinan kerana penggunaan 2GB RAM dan juga cip pemprosesan lapan teras. Dari segi kapasiti bateri, ia masih menggunakan bateri yang sama iaitu sebesar 3,500 mAh namun terdapat fungsi penjimatan bateri yang apabila fungsi tersebut diaktifkan, ia bakal mengurangkan penggunaan tenaga bagi memanjangkan waktu operasi peranti ini.

Salah satu perkara yang sangat berlainan adalah sistem paparan antaramuka peranti ini yang dilihat tampak lebih kemas dan cantik berbanding yang terdahulu. Jika dahulu terdapat pilihan untuk melihat semua aplikasi yang terpasang, kini kesemua aplikasi diletakkan pada paparan ‘Home’. Jika pengguna menekan butang ‘Home’ untuk beberapa ketika atau menekannya dengan pantas sebanyak dua kali, paparan ‘Task Manager’ akan ditunjukkan dan pengguna boleh memilih aplikasi yang ingin diaktifkan atau menghentikan semua aplikasi yang sedang beroperasi.

Alcatel-OneTouch-Flash-Plus-s3 Alcatel-OneTouch-Flash-Plus-s2 Alcatel-OneTouch-Flash-Plus-s1

Telefon pintar Alcatel OneTouch Flash Plus ini telah mula dijual di pasaran tempatan dan eksklusif melalui Lazada, telefon ini boleh diperoleh pada harga RM 549, lebih murah dari harga peranti Flash yang terdahulu. Pratempah peranti ini juga dibuka bermula hari ini sehingga 7 September, dan ditawarkan pada harga RM 499 di halaman Lazada Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd