Carian
Obi Worldphone SF1 & SJ1.5 – Dua Peranti Android Dilancarkan Oleh Bekas CEO Apple
August 27, 2015 Effi Saharudin

John Sculley adalah mantan CEO Apple yang bertugas dari 1983 sehingga 1993. Sebelum menjadi CEO Apple beliau bekerja di Pepsi Cola dan sekiranya anda membaca buku Walter Isaacson anda tahu apakah pandangan Steve Job berkenaan Sculley yang “menendang” beliau keluar dari Apple. Lebih 20 tahun sejak meninggalkan Apple, John Sculley kini mempunyai syarikat peranti pintar beliau yang diberi nama Obi Worldphone. Dua peranti Obi Worldphone iaitu SF1 (San Francisco 1) dan SJ1.5 (San Jose 1.5) dilancarkan pagi tadi dan ia menggunakan sistem operasi Android.

Obi-Worldphone-SF1

Obi Worldphone SF1 mempunyai skrin 5.0″ (FHD), diperkasakan pemproses Snapdragon 615 (1.5 +1.1 GHZ) , RAM 3/2 GB  dan muatan dalaman 32/16 GB. Kamera utama adalah sebesar 13 Megapixel dan kamera hadapan 5 Megapixel. Kapasiti bateri pula ialah 3000 mAh. Peranti dwi SIM (Mikro+Nano) ini turut menyokong sistem audio Dolby 7.1. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam dan panel kaca.

Obi-Worldphone-Sj1.5

Obi Worldphone SJ1.5 pula mempunyai skrin 5″ (HD), diperkasakan pemproses 1.3 GHz empat teras MediaTek, RAM 1 GB dan muatan dalaman 16 GB. Kamera utama sebesar 8 Megapixel dan kamera hadapan 5 Megapixel. Kapisiti bateri sama seperti SF1 iaitu 3000 mAh. Dua MikroSIM disokong dan tubuh peranti diperbuat dari bahan polikarbonat.

Kedua-dua peranti menggunakan Android 5.1 dengan antaramuka khas Lifespeed ciptaan Obi. Harga jualan Obi Worldphone SF1 ialah $199 (RM 840) manakala untuk SJ1.5 ialah $129 (RM 550) sebuah. Dua harga jualan yang jatuh ke dalam kategori mampu milik. Kedua-duanya akan memasuki pasaran Oktober hadapan bermula di Vietnam, Indonesia, Thailand,  UAE, Arab Saudi, Kenya, Nigeria, Tanzania, Afrika Selatan, Pakistan, Turki dan India.

Komen