Cari @ Amanz

Apple pada awal hari ini telah mengumumkan tarikh 9 September untuk acara pengumuman iPhone baru mereka. Lanjutan daripada itu, kini beberapa desas-desus baru turut hadir ke arena web, berkongsi lanjut mengenai apakah yang bakal dibawakan oleh telefon pintar Apple berkenaan.

Apple iPhone 6

Seperti setiap tahun, Apple turut dijangka memfokuskan kepada kamera untuk telefon pintar iPhone 6S dan juga iPhone 6S Plus. Ia dikatakan akan menyertakan kamera 12-megapixel untuk kedua-duanya, sekaligus membolehkan pengguna iPhone merakamkan gambar pada resolusi lebih tinggi, berbanding pada penggunaan 8-megapixel sebelum ini.

Apple juga dikatakan akan menyertakan sokongan rakaman video 4K melalui sensor baru ini kelak. Beberapa telefon pintar lain sudah sedia menyertakan sokongan ini, dan salah satu kekangan yang sering dihadapi adalah berkaitan dengan storan untuk simpanan memandangkan ia menggunakan ruangan storan yang tinggi pada kadar resolusi berkenaan. Ia tidak diketahui lagi bagaimana Apple ingin mengatasinya memandangkan iPhone tidak hadir dengan sokongan mikro-SD.

Disamping itu, Apple juga dikatakan akan menyertakan sebuah mod khusus untuk rakaman selfie, dimana ia akan memaparkan skrin berwarna putih ketika rakaman menggunakan kamera hadapan dilakukan – beroperasi lebih kurang seperti Flash dalam memberikan cahaya.

Apple dijangka mengumumkan Apple iPhone 6S dan iPhone 6S Plus pada 9 September kelak (10 September waktu Malaysia), dimana ia turut dijangka menyertakan sokongan Force Touch ke telefon mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd