Carian
Pandang Pertama – honor 7, Peranti Premium honor Dengan Pelbagai Ciri-Ciri Menarik
August 28, 2015 Aman

Honor merupakan salah satu jenama yang memfokuskan kepada pengguna muda dan juga menggunakan jual-beli melalui laman VMall. Pada tahun lepas, mereka telah hadir dengan honor 6 yang menerima reaksi positif daripada ramai pengguna seluruh dunia, tetapi pada masa yang sama ramai yang inginkan perubahan pada kerangka untuk memaparkan gaya penggunaan yang lebih premium.

Honor 7


Rekaan Dan Spesifikasi

Kini, dengan honor 7, pihak honor dilihat ingin menyelesaikan beberapa perkara yang tidak disukai pengguna pada honor 6 lepas, disamping menambah-baik dengan pelbagai fungsi-fungsi baru.

honor 7
Pemproses Kirin 935 2.2Ghz
Skrin 5.2-inci HD Penuh
RAM 3GB
Muatan Dalaman 16GB
Kamera Utama 20 Megapixel
Kamera Hadapan 8-Megapixel
Bateri 3100mAh
Lain-Lain Smart Key, IR

honor 7 membawakan skrin bersaiz 5.2-inci, sedikit besar berbanding dengan honor 6, selain membawakan rekaan unibody berasaskan kepada logam. Pada bahagian hadapan, jikalau dipandang secara kasar, ia membawakan elemen rekaan sama seperti honor 6, tetapi pada kerangka belakang, ia membawakan rekaan logam yang selesa dipegang pada tangan. Dengan skrin bersaiz 5.2-inci juga, ia tidak begitu besar di tangan, mahupun tidak begitu kecil.

Pada bahagian belakang, kamera 20-megapixel disediakan dengan sokongan LED dwi-tona. Penggunaan LED dwi-tona ini membolehkan gambar yang dirakamkan dipancarkan dengan cahaya yang sesuai sama ada putih atau kejinggaan berdasarkan kepada persekitaran. Dibawah kamera adalah pengimbas cap jari. Tiada sebarang penggunaan jenama honor pada bahagian hadapan, dan ia hanya digunakan pada bahagian belakang sahaja.

Untuk tujuan pengecasan, ia menggunakan pengecas berasaskan mikro-USB biasa. Ruangan speaker turut diadakan pada bahagian bawah peranti. Pada bahagian kiri peranti pula, pihak honor menyertakan sebuah butang tambahan dinamakan Smart Key, selain ruangan untuk kad-SIM. honor 7 menggunakan sokongan dwi-SIM berbentuk hibrid. Ini bermakna, untuk SIM kedua, pengguna boleh memilih sama ada ingin menggunakan kad mikro-SD ataupun kad SIM nano. Telefon ini, seperti kebanyakkan telefon flagship lain, menyokong rangkaian 4G LTE.

Pada bahagian atas pula, honor 7 membawakan ruangan untuk audio-jack, selain ruangan untuk IR. Menggunakan IR atau infrared, pengguna boleh menggunakannya untuk mengawal beberapa peranti dan peralatan elektronik dirumah, sebagai contoh televisyen. Daripada contoh yang dipaparkan oleh honor 7 ketika pelancaran, ia digunakan untuk mengubah siaran di televisyen, selain digunakan untuk mengawal kadar bunyi audio di televisyen.



Pengimbas Cap Jari

Seperti dimaklumkan sebelumnya, salah satu titik jualan pada honor 7 adalah sokongan pengimbas cap jari. Pengimbas cap jari yang digunakan oleh honor 7 ini adalah antara yang terpantas dan sangat responsif – berbeza jikalau dibandingkan dengan pada beberapa peranti, malah lebih berkali ganda berbanding dengan pada Ascend Mate sebelum ini. honor 7 dilihat menggunakan kaedah pengecaman yang baru, dan apabila telah dimasukkan data cap jari pada peringkat permulaan, pengguna boleh menggunakan sokongan tersebut daripada pelbagai sudut berbeza.

Honor 7

Sokongan pengimbas cap jari ini membolehkan pengguna melakukan beberapa perkara menggunakannya. Seperti kebiasaan, pengguna boleh menggunakan ia untuk nyah-kunci peranti dengan mudah. Selain daripada itu, pengguna turut boleh menggunakan ia untuk tujuan rakaman gambar. Satu lagi kebolehan baru yang disertakan adalah, pengguna boleh swipe ke bawah pada pengimbas cap jari berkenaan, dan ia akan membolehkan pengguna mengeluarkan talam notifikasi pada peranti, tanpa perlu melakukannya pada skrin. Ini mungkin memudahkan anda ketika melakukan tugasan menggunakan sebelah tangan dan melihat notifikasi dengan mudah.

honor turut mengatakan honor 7 akan mempelajari dari hari ke hari untuk penggunaan cap jari ini, dan menambah-baik kadar sensitif dan responsifnya secara automatik. Daripada percubaan kami, ia berfungsi dengan amat baik sekali.

honor 7


Honor Smart Key

Salah satu penambahan baru pada honor 7 adalah butang fizikal dinamakan sebagai Smart Key. Menggunakan SmartKey ini, pengguna boleh menetapkan apakah yang ingin diakses ketika menekannya. Sebanyak tiga pilihan disediakan, iaitu untuk ketika menekannya sekali, dua kali, ataupun ketika tekan untuk seketika.

Daripada tetapan pada sistem, ia menetapkan membuka Google Now ketika anda menekannya untuk seketika. Anda boleh memilih untuk menetapkan beberapa arahan khas, seperti menekan sekali untuk mengaktifkan lampu suluh atau merakam suara, atau membuka aplikasi kegemaran anda. Begitu juga untuk pilihan lain.

Honor 7

Kami telah mencuba fungsi ini, dan mendapati ia agak menarik untuk menggunakan butang fizikal bagi tujuan akses pantas aplikasi. Walaupun mempunyai akses pantas untuk Google Now dengan menekan butang Home untuk seketika, namun, menggunakan butang fizikal agak lebih menarik lagi.

Tetapi, pada masa yang sama, tetapan untuk tekan sekali kadang-kala agak menganggu kerana boleh teraktif secara tidak sengaja. Mungkin pengguna akan lebih menggunakan sokongan untuk menekan dua kali, dan tekan untuk seketika untuk Smart Key ini berbanding dengan menekannya sekali.

Honor 7 SmartKey


Kamera Belakang 20MP

Pada hari ini, menjadi salah satu fokus utama pelbagai pengguna adalah mendapatkan telefon pintar dengan sokongan kamera yang baik. Honor sebelum ini telah menawarkan sokongan kamera yang baik pada peranti mereka, dan honor 7 mengekalkan perkara tersebut. Malah, ia turut hadir dengan beberapa fungsi mod tambahan, membolehkan pengguna merakamkan gambar dengan lebih baik pada beberapa keadaan yang berbeza.

Honor 7

Kamera belakang 20-megapixel yang digunakan oleh honor 7 dilindungi oleh kaca sapphire untuk mengelaknya daripada tercalar. Ia juga berupaya merakamkan gambar cahaya dibawah mod dipanggil Light Painting. Dibawah apa yang dipanggil Light Painting ini, pengguna boleh memilih beberapa mod khusus – sebagai contoh “Tail Light Trails” untuk merakamkan gambar gerakan cahaya (sebagai contoh cahaya gerakan kenderaan), ataupun memilih “Light Graffiti” untuk merakamkan gambar cahaya pada keadaan gelap. Kedua-dua mod ini menawarkan rakaman yang menarik, tetapi ia memerlukan pengguna memegang peranti tanpa mengerakkannya. Memandangkan mod ini biasanya digunakan dengan tripod ia mungkin tidak bermasalah. Malah, hasil percubaan kami untuk merakamkan gambar gerakan cahaya untuk beberapa saat menawarkan hasil yang tidak mengecewakan.

Honor 7 Kamera

Disamping itu, satu lagi mod khusus yang dibawakan oleh honor 7 untuk rakaman gambar adalah mod dipanggil “Good Food“. Mod khusus ini memfokuskan untuk rakaman gambar makanan, dimana ia membolehkan pengguna merakamkan gambar makanan yang lebih cantik untuk dikongsikan di laman sosial. Ia boleh dikatakan sebagai Beauty Mode tetapi untuk makanan.

Honor 7 Good Food

Untuk rakaman video pula, honor 7 menyertakan kebolehan merakamkan video pada kadar 1080p, selain turut menawarkan beberapa mod khusus video. Antaranya adalah termasuk mod rakaman video HDR, kebolehan rakaman video pada gerak-perlahan (Slow-mo, dan juga rakaman video berbentuk Time-Lapse.


Contoh Rakaman Gambar




Lain-Lain Fungsi honor 7

Selain daripada ini, honor 7 turut membawakan beberapa ciri-ciri tambahan yang menarik. Salah satunya adalah WiFi+, dimana ia akan mengubah rangkaian daripada WiFi kepada rangkaian mudah-alih sekiranya keadaan rangkaian WiFi tiada sambungan internet. Seperti biasa, ia akan memberikan notifikasi kepada pengguna terlebih dahulu sama ada ingin mengubanya atau tidak.

Disamping itu, seperti dinyatakan pada awal artikel, honor 7 menyertakan sokongan infrared untuk mengawal peralatan elektronik, dan honor 7 menyertakan sebuah aplikasi dinamakan sebagai Smart Controller untuk tujuan tersebut.

Honor 7

Pengguna juga turut boleh mengubah bentuk paparan bar navigasi pada bahagian bawah – dimana boleh mengubah kedudukan butang “Home”, “Back” dan “Multi-Tasking”, disamping menambah butang ke-empat untuk mengakses notifikasi.

Bagi anda yang ingin menggunakan pada sebelah tangan pula, anda hanya perlu swipe dari kiri-ke-kanan pada bar navigasi dibawah untuk menjadikan skrin kecil dan membolehkan anda membuat tugasan dengan menggunakan sebelah tangan – memandangkan skrin mudah dikawal dan dicapai ke semua arah apabila ia dikecilkan sedikit.

honor 7 juga turut menyertakan fungsi Double Touch untuk mengaktifkan skrin, selain beberapa sokongan motion yang lain. Fungsi Knucle Sense seperti pada Huawei P8 turut disertakan pada honor 7. Pengguna boleh menggunakan buku jari untuk mengetuk skrin bagi tujuan merakamkan gambar melalui fungsi ini.

Satu lagi fungsi baru yang turut disertakan adalah Voice Wakeup, membolehkan anda menetapkan suara, dan sekiranya anda tersilap letak telefon anda, anda boleh menyerunya, dan telefon berkenaan akan menjawab.

honor 7 juga akan memaparkan notiifikasi sekiranya sesuatu aplikasi menggunakan tenaga pemprosesan atau bateri yang tinggi – sekaligus membolehkan anda menamatkan aplikasi berkenaan, sekiranya ia masih berjalan di latar dan tidak digunakan lagi oleh anda.

Honor 7 Fungsi

Honor 7 Fungsi


Honor 7 ini akan dilancarkan di Malaysia pada bulan September ini, dan seperti biasa akan dijual melalui VMall. Pihak Honor masih tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan harga jualannya untuk pasaran Malaysia. Secara kasar, daripada percubaan kami, honor 7 amat memukau hati, dan pelbagai ciri-ciri yang ditawarkan amat menarik. Memandangkan honor sering menawarkan peranti pada harga lebih rendah berbanding pelbagai pesaing lain di pasaran (memandangkan mereka menjualnya terus), maka tidak mustahil untuk kita melihat honor 7 menjadi salah satu peranti rebutan ramai apabila ia dipasarkan di Malaysia pada bulan September ini.

Komen