Cari @ Amanz

(Konsep) – Lunark : Peranti Dengan Dua Skrin Boleh Dilipat

Link Copied!

Setiap tahun pasti akan wujud peranti yang direka untuk memberikan kelainan. Ada yang berjaya seperti iPhone yang memulakan revolusi peranti skrin sesentuh sepenuhnya dan Galaxy Note yang memulakan era peranti berskrin besar. Tetapi ada juga pelbagai peranti dengan rekaan aneh yang tidak berapa berjaya seperti Asus PadFone 2 yang mengubah telefon pintar menjadi sebuah tablet dengan rekaan 2 dalam 1. Begitu juga dengan Kyocera Echo yang mempunyai dua skrin boleh lipat. Sebenarnya kami amat mahukan peranti seperti Echo berjaya kerana ia membolehkan saiz skrin diubah mengikut keperluan penggunaan. Malang bagi Echo teknologi skrin, bateri, perkakasan dan juga perisian ketika ia dicipta tidak mampu menghasilkan peranti yang baik. Ia adalah salah satu peranti yang memasuki senarai 8 Peranti Gimik yang pernah kami tulis beberapa tahun yang lalu.

Lunark-1

Lunark ialah konsep peranti dwi-skrin boleh lipat sama seperti Echo. Bezanya ialah ia mempunyai engsel yang membenarkan skrin berputar 360 darjah. Ini bermakna ia boleh dilipat seperti sebuah buku nota, menjadi sebuah tablet mini ataupun mempunyai skrin depan belakang seperti sebuah YotaPhone. Tidak seperti Echo, apabila skrin dibuka menjadi sebuah tablet mini, paparan bersambung dengan baik tanpa bazel tebal yang membelah skrin.

Konsep menarik ini dihasilkan oleh Allan Ospina seorang pereka yang berasal dari Amerika Syarikat. Konsep ini menarik tetapi selagi masih belum ada kemampuan menghasilkan bateri berkapasiti tinggi yang kompak ia pasti sukar menjadi realiti.

Lunark-2 lunark-3


Komen ()