Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar Hadir Dengan Katil Mobiliti Pelbagai Guna

Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar Hadir Dengan Katil Mobiliti Pelbagai Guna

Diterbitkan pada Ogos 29, 2015 oleh .

Di acara KL Converge! yang bermula pada Jumaat lalu dan akan berakhir pada hari ini, pelbagai teknologi telekomunikasi dan inovasi dipertontonkan kepada pengunjung. Selain dari reruai gah dari syarikat telekomunikasi tempatan, terdapat juga reruai dari negara ASEAN dan syarikat besar seperti Google Malaysia, Huawei, NEC dan lain lagi. Terdapat juga reruai mempamerkan teknologi tempatan, dan Kelab Robotik Kolej Melayu Kuala Kangsar telah hadir dengan Katil Mobiliti Pelbagai Guna.

Ciptaan kelab ini bertujuan untuk memudahkan pesakit disamping membantu pihak hospital dan jururawat dalam menjaga pesakit. Katil ini mampu berubah menjadi kerusi dalam masa yang singkat, dan turut mempunyai fungsi lain. Bagi tujuan mobiliti, katil yang juga kerusi ini boleh digerakkan menerusi pad kawalan dan terdapat pilihan pad kawalan tanpa wayar. Selain dari itu, terdapat meja sisi yang akan naik secara automatik apabila masa yang ditetapkan untuk mengambil ubat telah tiba. Bagi tujuan penjagaan pesakit, katil ini juga boleh mencondongkan pesakit pada kedua belah dan mempunyai sensor pengesan dinding, membolehkan katil berundur secara automatik apabila mengesan dinding.

Ciptaan ini juga telah memenangi pertandingan robotik VEX bawah kategori komuniti dan kelab ini juga berharap ciptaan mereka dapat dikomersialkan pada masa akan datang. Bagi anda yang ingin melihat sendiri kerusi ini, boleh hadir ke acara KL Converge! di KL Convetion Center yang berlangsung sehingga 29 Ogos.


TIPS & ULASAN