Terdapat pelbagai cara dilakukan untuk mempromosikan permainan. Cara paling biasa kita lihat ialah lambakan iklan pada laman permainan video. Pengulas juga ada yang diberikan akses kepada permainan berminggu lebih awal berbanding pengguna biasa. Di Malaysia permainan MMO dipromosikan dengan menggunakan gadis cosplay yang seksi. Bagi permainan Mad Max yang akan dilancarkan 1 September ini, mereka menggunakan teknik promosi yang unik dan cukup menarik.
Mereka menggunakan kenderaan rekaan pasca apokalips Mad Max dan bekerjasama dengan Uber bagi membantu mempromosikan permainan komputer ini. Enam kenderaan ala Mad Max boleh dinaiki pelanggan Uber di bandar Seattle selama beberapa hari. Menarik sekali anda boleh pergi ke destinasi anda tanpa perlu membayar kerana ianya ditanggung sepenuhnya oleh mereka. Sekurang-kurangnya di bandar kelahiran muzik grunge anda boleh pergi ke destinasi pilihan dengan penuh berkilat dan krom! Kami hanya sedikit kecewa mereka tidak menggunakan kenderaan yang membenarkan penumpang bermain gitar elektrik di atas bumbung.