Terdapat beberapa kaedah untuk membolehkan pengguna mengakses Android pada desktop, dan kini salah satu aplikasi yang menawarkan fungsi lebih kurang sama adalah Vysor. Vysor merupakan sebuah pemalam untuk pelayar web Chrome, sekaligus membolehkan pengguna menggunakannya pada pelbagai jenis sistem operasi yang disokong oleh Chrome.
Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu memasangnya pada Chrome anda, dan seterusnya mengaktifkan fungsi USB Debugging pada telefon Android, dan menghubungkan ia ke komputer menggunakan USB.
Sebaik sahaja menghubungkan telefon ke komputer, anda boleh menjalankan Vysor ini, dan memilih untuk menyambungkan peranti. Anda akan dipaparkan dengan notifikasi pada telefon, dan perlu mengesahkannya dan akan diminta untuk memasang sebuah aplikasi.
Selesai semuanya, tetingkap telefon anda akan dipaparkan pada komputer. Daripada percubaan awal kami, terdapat beberapa lengah masa pada paparan skrin.
Salah satu fungsi menarik adalah kebolehan untuk berkongsi skrin peranti anda dengan pengguna lain melalui sebuah pautan khusus, dan membolehkan anda berkongsi beberapa perkara – mungkin seperti tutorial ringkas dan sebagainya.
Bagi anda yang berminat, anda boleh mencuba Vysor ini untuk Android hari ini
- Muat-Turun Pemalam Vysor Untuk Chrome