Cari @ Amanz

Bateri ion lithium ang digunapakai sekarang mempunyai beberapa masalah. Pertama sekali ia mempunyai jangka hayat pengecasan yang terhad. Selalunya sekitar 1000 pengecasan sebelum perlu diganti. Selepas tempoh tersebut bateri akan menggelembung dan ini boleh membawa kepada masalah kebakaran. Elektrolit cecair yang digunakan juga menghakis. Jika berlaku kebocoran ataupun bateri menerima hentakan kuat ia boleh meletus. Antara teori yang popular kehilangan MH370 ialah bateri LiOn di dalam ruangan kargo pesawat terbakar dan menyebabkan kesemua krew dan penumpang lemas. Kebakaran bateri LiOn adalah sebab utama mengapa kesemua pesawat Boeing 787 Dreamliner tidak dibenarkan terbang selama 3 bulan pada tahun 2013.

Bateri

Samsung dan MIT minggu lalu mengumumkan teknologi baru bateri yang bukan sahaja dapat menyimpan cas lebih besar dan selamat, malahan ia turut didakwa dapat digunakan selama-lamanya tanpa perlu ditukar ganti. Ini dilakukan dengan tidak lagi menggunakan elektrolit cecair dan digantikan dengan elektrolit keadaan pepejal (solid state). Bateri dapat menyimpan sehingga 30% lebih banyak cas menggunakan elektrolit pepejal ini. Kenapakah teknologi elektrolit keadaan pepejal tidak digunakan sejak dahulu lagi? Ini adalah kerana saintis belum menjumpai elektrolit yang lebih baik berbanding dalam bentuk cecair.

Bateri keadaan pepejal ini masih lagi dibangunkan oleh Samsung dan MIT maka tidak diketahui bilakah ia akan digunakan secara komersial. Di masa hadapan kita tidak lagi perlu risau bateri peranti perlu diganti selepas beberapa tahun. Ini juga bermakna bateri kenderaan elektrik juga akan kekal lebih lama tanpa perlu diganti pada kos yang mahal dan juga mengelakkan masalah kebakaran.

Sejak kebelakangan ini Samsung adalah syarikat paling serius dalam membangunkan teknologi bateri. Terdahulu kami ada melaporkan mereka sedang menyelidik bateri berkapasiti lebih tinggi dan melabur di dalam Storedot, sistem yang boleh mengecas bateri 900 mAh dalam masa hanya seminit.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd