Carian
Lenovo Hadir Dengan Telefon Pintar Bersaiz 6.8-inci Dinamakan Lenovo Phab Plus
August 31, 2015 Aman

Beberapa tahun dahulu, telefon pintar bersaiz 5-inci dikategorikan sebagai bersaiz besar, tetapi kini telah menjadi salah satu norma dikalangan pengguna ramai. Selain bersaiz 5-inci, terdapat juga phablet bersaiz lebih 6-inci, dan kini menyertai pasaran adalah Lenovo Phab Plus yang bersaiz 6.8-inci.

Telefon pintar bersaiz 6.8-inci bukan sesuatu yang baru, dimana sebelum ini Huawei telah memperkenalkan Huawei P8 Max dengan saiz lebih kurang sama. Telefon bersaiz besar ini menjadi kegemaran ramai pengguna di Asia, terutamanya memandangkan telefon pintar kini menjadi komputer dan satu-satunya peranti dengan akses internet. Ia sekaligus memudahkan pelbagai tugasan seperti menaip dokumen dan sebagainya dilakukan, disamping pada masa yang sama digunakan untuk menikmati media.

Lenovo Phab Plus

Lenovo Phab Plus ini menggunakan skrin 6.8-inci dengan paparan 1920×1080 pixel, dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 615 64-bit, memori 2GB RAM, dan ruangan storan 32GB. Telefon pintar ini dilengkapi kamera belakang 13-megapixel dengan dwi-LED, selain kamera hadapan 5-megapixel.

Dengan skrin bersaiz besar ini, ia turut membawakan bateri yang sedikit besar berbanding yang lain, iaitu bersaiz 3500mAh. Lenovo Phab Plus ini turut dilengkapi sokongan Dolby Atmos untuk menawarkan kualiti audio yang baik ketika menikmati video atau muzik.

Buat masa ini, Lenovo Phab Plus ini hanya ditawarkan di pasaran China sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan hadir ke pasaran tempatan.

Komen