Carian
Sistem Pembayaran Tambang Pengangkutan Awam Menggunakan Peranti Boleh-Pakai Diuji Di Singapura
September 1, 2015 Effi Saharudin

Land Transport Authority (LTA) Singapura bekerjasama dengan Sony, SingTel, EZlink dan TransitLink untuk menguji sistem pembayaran tambang pengangkutan awam menggunakan peranti boleh-pakai Sony SmartBand. Program ujian selama enam bulan yang melibatkan 200 orang pengguna dijalankan bagi melihat kebolehgunaan sistem pembayaran menggunakan peranti boleh-pakai. Ini bagi memastikan penggunaannya dapat mempercepatkan proses pembayaran tambang sekaligus mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak.

Singapura-Smart-Band-1

Sistem pembayaran peranti boleh pakai ini akan diuji pada sistem rangkaian bas, LRT dan juga MRT di seluruh negara pulau ini. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SingTel mWallet untuk menambah nilai wang untuk pembayaran secara NFC. Sistem pengimbas tiket yang digunakan di Singapura sekarang tidak perlu diubahsuai untuk menggunakan sistem pembayaran menggunakan peranti boleh-pakai. Satu lagi perkara yang menarik mengenai sistem yang diuji ini ialah penumpang boleh memeriksa baki di dalam kad dengan lebih mudah menerusi peranti Android mereka. Seperti kad Touch ‘N Go dan MyRapid Card di Malaysia, kad tiket yang digunakan sekarang hanya boleh dilihat bakinya ketika diimbas pada pintu masuk platform/bas.

Ini adalah langkah memandang ke hadapan yang baik dari pihak LTA Singapura. Apa yang kami rasakan menarik ialah sistem yang diuji ini hanya sesuai digunakan oleh peranti Android. Umum kita ketahui Singapura ialah negara yang mempunyai lebih ramai pengguna iOS. Kami juga tertarik melihat komen dari rakyat Singapura yang mempersoalkan penggunaan gelang boleh-pakai kerana pada hemat mereka sistem NFC pada peranti-peranti pintar sedia ada sebenarnya lebih mesra pengguna. Jelas sekali tidak kira di mana anda berada, pasti akan ada maklum balas negatif apabila kerajaan memperkenalkan inisiatif baru untuk kemudahan rakyat.

Singapura-Smart-Band-2

Komen