Jun lalu pihak Oppo menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama kelab FC Barcelona yang beraksi di dalam La Liga Sepanyol. Perjanjian ini akan melihat produk Oppo diiklankan secara meluas di stadium Camp Nou dan kesemua aktiviti yang dianjurkan oleh Barcelona. Minggu hadapan peranti Oppo R7 Plus edisi khas FC Barcelona akan dilancarkan di Beijing. Peranti khas ini akan mempunyai beberapa unik seperti latar belakang rasmi Barcelona, ukiran laser pada panel belakang serta aksesori yang turut bertemakan Barcelona. Maklumat mengenai harga, spesifikasi dan adakah ia akan memasuki pasaran Malaysia akan diketahui minggu hadapan.
Nampaknya sejak kebelakangan ini semakin banyak syarikat dari tanah besar China melakukan perkongsian strategik dengan kelab ternama dunia. Di United Kingdom Huawei bekerjasama dengan Arsenal FC dan telah melancarkan peranti Ascend P7 edisi Arsenal Oktober tahun lalu. Syarikat Dogee pula menaja FC Villareal. Penajaan kelab bola sepak ialah cara mudah untuk membuatkan jenama peranti lebih dikenali pengguna kerana perlawanan bola sepak ditonton ratusan juta penonton.