Apple sebelum ini telah menjadualkan sebuah acara pengumuman khas pada 9 September, dimana mereka dijangka akan memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iPhone 6S. Kini, ia dikatakan selain daripada iPhone dan juga Apple TV, Apple juga mungkin memperkenalkan iPad Pro dan juga iPad Mini 4 pada hari yang sama.
iPad Pro dijangka memfokuskan pengguna perusahaan, dan membawakan skrin pada saiz sekitar sebesar Macbook, serta hadir dengan beberapa ciri-ciri khusus untuk perusahaan. Ia dikatakan iPad Pro ini akan mula dijual pada bulan November kelak, dan pra-tempahan untuknya mungkin dimulakan pada penghujung Oktober. Dengan tempoh penawaran yang agak jauh daripada pelancaran, terdapat juga kemungkinan mengatakan Apple mungkin akan mengumumkannya pada bulan Oktober kelak.
Untuk iPad Mini 4 pula, Apple dijangka memfokuskan kepada kemaskini spesifikasi, yang membolehkan ia menyokong fungsi baru seperti penggunaan aplikasi split-screen pada iOS 9.
Seperti biasa, sama ada Apple akan mengumumkannya pada 9 September ini ataupun sebaliknya hanya akan terjawab pada tarikh tersebut. Apple akan menyiarkan acara ini secara langsung melalui web, dan turut boleh ditonton oleh pengguna Windows 10.