Syarikat Boeing sangat terkenal sebagai pengeluar pesawat penumpang. Tetapi mereka juga mempunyai divisyen yang menghasilkan senjata untuk kegunaan tentera. Terkini mereka berjaya menembak jatuh sebuah dron menggunakan senjata laser. Compact Laser Weapons System (CLWS) ialah sistem laser 2 Kilowatt yang dicipta untuk menembak jatuh pesawat peninjau kecil. Dalam ujian yang baru dilakukan, CLWS menembak jatuh sebuah dron kecil dalam masa 15 saat dari jarak beberapa ratus meter.
CLWS adalah salah satu dari beberapa sistem senjata laser yang dibangunkan serentak untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat. Selain CLWS terdapat sistem laser ATHENA yang berjaya memusnahkan sebuah trak statik dari jarak 1 batu. Sistem laser anti serangan mortar dan artileri HEL MD juga sedang diperhalusi oleh tentera darat Amerika Syarikat. Tidak seperti tembakan laser di dalam kartun G.I.Joe atapun Transformers, sistem laser di dunia sebenar tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ini menyukarkan sasaran dari melihat dari arah mana mereka diserang.