Cari @ Amanz

Asus ZenWatch 2 telah diumumkan pada Computex 2015 bulan Jun yang lepas, dan turut telah diperlihatkan sekali lagi dengan pengumuman berkaitan dengannya telah diadakan pada IFA 2015 minggu ini. Hari ini, lanjutan daripadanya, pihak Asus Malaysia mengesahkan dengan kami mengatakan ZenWatch 2 akan memasuki pasaran tempatan pada penghujung tahun 2015 ini, atau selewatnya pada awal tahun hadapan.

Asus ZenWatch 2

ZenWatch 2 hadir dalam dua variasi saiz, iaitu satu bersaiz dengan skrin 1.6-inci, dan satu lagi menggunakan skrin bersaiz 1.45-inci. Ia sekaligus menjadikan jam tangan pintar dengan skrin empat-segi ini sesuai pada tangan lelaki dan wanita – sama ada bersaiz besar atau kecil. Kedua-duanya menggunakan sistem operasi Android Wear, dan boleh digunakan bersama peranti Android atau iOS.

Dari segi spesifikasi, ZenWatch 2 menggunakan skrin AMOLED, cip Snapdragon 400, memori 512MB RAM, dan ruangan storan 4GB. Pihak Asus dipetik mengatakan menawarkan masa penggunaan sehingga 2 hari melalui jam tangan pintar ini. Seperti biasa, pengecas khusus diperlukan untuk mengecas jam tangan pintar ini.

Harga jualan untuk jam tangan pintar ini masih tidak diketahui lagi buat masa ini bagi pasaran tempatan. Di Eropah, versi asas ditawarkan pada harga €149 (~RM705). Dengan pihak Asus menawarkan pelbagai peranti mereka pada harga yang mesra pelanggan, mungkin kita turut boleh nantikan jam tangan pintar Android Wear ini ditawarkan pada suatu harga yang tidak terlalu mahal di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd