Google Merancang Untuk Melancarkan Google Play Di China

Google Merancang Untuk Melancarkan Google Play Di China

Diterbitkan pada Sep 5, 2015 oleh .

China merupakan salah satu pasaran yang besar di dunia, dan terdapat pelbagai pengeluar yang menggunakan sistem operasi Android dalam penawaran telefon pintar mereka yang berasal dari negara tanah besar berkenaan. Walaubagaimanapun, salah satu perkara yang tidak menarik adalah di China tidak terdapat sokongan Google Play – membuatkan peranti di negara berkenaan tidak hadir dengan Google Play Services seperti Play Store dan sebagainya.

Kebiasaannya, peranti di negara berkenaan menggunakan kedai aplikasi tempatan tersendiri – dan terdapat pelbagai jenis kedai aplikasi berbeza untuk memuat-turun aplikasi Android.

Kini, dengan perkembangan pesat di negara berkenaan, Google dilaporkan merancang untuk memasuki kembali negara berkenaan dan menawarkan Play Services di sana. Laporan terbaru ini juga selari dengan desas-desus sebelum ini, apatah lagi dengan kerjasama bersama pihak Huawei dalam penawaran Nexus untuk tahun ini.

Google dikatakan akan mematuhi peraturan tempatan dan mengikuti pelbagai peraturan berkaitan penapisan yang ditetapkan oleh kerajaan di China.

Langkah ini juga turut akan membawa kepada kesan positif lain, termasuk penawaran peranti berasaskan Android Wear di negara berkenaan. Untuk menggunakan Android Wear, pengguna memerlukan aplikasi khusus yang hadir dengan sokongan Play Services, dan pengenalan perkhidmatan berkenaan akan membolehkan pengguna di China turut menggunakannya – selain pengeluar di sana turut boleh hadir dengan jam tangan pintar berasaskan Android Wear.

Pengumuman Google berkaitan dengan langkah memasuki pasaran China kembali ini dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat ini.


TIPS & ULASAN