Terdapat ura-ura Samsung akan melancarkan tablet Android gergasi Oktober depan yang diberi nama Galaxy View. Tiada maklumat lanjut diketahui setakat ini. Apa yang pasti Alcatel terlebih dahulu memperkenalkan tablet gergasi dengan skrin sebesar 17.3″. Alcatel Onetouch Xess direka untuk kegunaan pejabat dan juga dapur. Terdapat tetongkat boleh laras yang membolehkan Xess dicondongkan mengikut keperluan pengguna seperti yang wujud pada tablet Surface.
Dari segi spesifikasi ia mempunyai skrin 1080P, diperkasakan pemproses MediaTek MT8783T, RAM sebesar 2 Gigabyte, muatan dalaman 32 Gigabyte dan bateri sebesar 10000 mAh. Turut disertakan ialah stylus terbina, sistem audio JBL serta sistem navigasi pergerakan tangan yang membolehkan peranti dikawal tanpa skrin disentuh. Ini adalah amat berguna ketika menggunakannya di dapur. Alcatel Onetouch Xess bakal dijual hujung tahun ini namun harga jualan masih belum diketahui buat masa ini. Adakah tablet gergasi bakal mendapat sambutan pengguna? Rasanya untuk pengguna di Malaysia saiz Xess ini terlalu besar untuk dapur di Malaysia yang agak kecil.