Samsung pada IFA 2015 yang diadakan minggu lepas, telah memperlihatkan fokus terhadap peranti berhubung. Seperti ramai sedia maklum, dalam menjayakan peranti berhubung atau IoT ini, mereka perlu menyokong pelbagai platform – dan perkara tersebut dilihat ingin dimulakan oleh Samsung melalui jam tangan pintar baru mereka.
Samsung pada IFA 2015 telah melancarkan jam tangan pintar dengan skrin bulat mereka dinamakan Gear S2. Ia dijana menggunakan platform Tizen, dan hadir dalam pilihan Gear S2, Gear S3 Classic dan juga Gear S2 3G.
Samsung sebelum ini hanya menawarkan sokongan jam tangan pintar mereka terhad untuk pengguna peranti Samsung Galaxy sahaja, tetapi untuk Gear S2 mereka turut mengatakan akan menyokong pelbagai peranti Android yang lain.
Kini, laporan baru hadir mengatakan Samsung dipetik mengatakan ia bukan sahaja terhad kepada peranti Android lain, tetapi turut akan menyertakan sokongan untuk iPhone.
Walaubagaimanapun, tiada sebarang tarikh diberikan buat masa ini berkaitan bilakah ia akan hadir. Namun, komitmen pelbagai platform ini adalah salah satu perkara yang dinantikan ramai.
Selain daripada Samsung, antara syarikat yang sedia menyokong pelbagai platform adalah termasuk Microsoft dan juga Google.