Cari @ Amanz

Ubisoft merupakan salah satu jenama penerbit permainan yang popular, terkenal dengan permainan seperti Assassin’s Creed, Just Dance dan sebagainya. Hari ini, mereka mengumumkan kerjasama dengan RSG (R-Segari Group) – yang turut sedang membangunkan Taman Tema MAPS (Movie Animation Park Studios). Melalui kerjasama ini, mereka akan hadir dengan taman tema dalam bangunan (indoor) Ubisoft pertama di dunia.

Taman tema ini dijangka akan dibuka pada tahun 2020 kelak, dan berlokasi di Kuala Lumpur. Lokasi spesifik untuknya masih tidak diumumkan lagi buat masa ini.

Ubisoft Motion Pictures mengatakan taman tema generasi baru mereka yang pertama ini akan mesra keluarga, akan memakan keluasan sebesar 10000 meter persegi. Dengan tema generasi baru, taman tema ini turut dijangka akan mengintegrasikan beberapa inovasi baru dalam pemanduan, tarikan, persembahan dan sebagainya. Seperti biasa, ia akan mengambil inspirasi daripada pelbagai permainan dan jenama di bawah Ubisoft.

Ubisoft RSG

Melalui kerjasama ini juga, pihak Ubisoft akan bertanggungjawab dalam membawa IP mereka serta menawarkan idea untuk taman tema, sementara RSG Group bertanggungjawab dalam pencarian dana, kawasan dan juga pembangunannya.

RSG Group selain daripada taman tema ini, mereka juga sedang membangunkan Movie Animation Park Studios (MAPS) di Perak, yang mana membawakan jenama seperti Dreamworks, dan Boboiboy ke taman tema berkenaan. Berkongsi secara kasar mengenai taman tema tersebut, ia dikatakan akan menawarkan integrasi sosial seperti kebolehan merancang percutian dan perjalanan dalam taman tema berkenaan, selain membolehkan pengguna berhubung menggunakan WiFi dan berkongsi pelbagai detik mereka bersama-sama rakan-rakan lain. MAPS ini akan dibuka pada tahun hadapan, dengan pelancaran awalnya dijangka sekitar April.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd