Cari @ Amanz

 

Ujian jatuhan ataupun drop test ialah ujian yang sering anda mahukan kami lakukan setiap kali peranti baru muncul di makmal Amanz. Malang sekali peranti yang dipinjamkan kepada kami harus dipulangkan semula dalam keadaan yang sama seperti hari diterima. Kegagalan boleh menyebabkan kami tidak lagi mendapat unit untuk diulas pada masa hadapan. Kerap kali apabila peranti baru dihasilkan kita boleh melihat video ujian yang dilakukan. Kita akan menjadi skeptikal bahawa ujian yang dilakukan adalah asli.Minggu lalu kami berpeluang melihat makmal ujian peranti Oppo yang terletak di Shenzen China.

Makmal ujian ini terletak di dalam kilang peranti Oppo yang terdiri daripada dua bangunan kilang dan sebuah kampus untuk pekerja. Seramai 5000 pekerja ditempatkan di dalam kampus ini. Makmal ujian terletak di dalam sebuah bilik besar di tingkat dua. Beberapa buah bilik kecil ditempatkan di dalam makmal ini dan ujian berbeza dilakukan di dalamnya.

Luas bilik makmal ujian ini adalah lebih kurang tiga ribu kaki persegi. Ratusan peranti terkini yang dihasilkan diuji secara rawak bagi melihat ketahanan mereka dalam penggunaan seharian. Ujian pertama yang kami lihat ialah ujian penggunaan biasa. Seorang pekerja wanita menghidupkan aplikasi lampu suluh pada sebuah R7 dan membiarkannya terbuka. Pada waktu yang sama beliau melakukan ujian panggilan telefon berkali-kali. Ujian ini dilakukan bagi melihat tahap kepanasan peranti selepas digunakan di dalam suhu dan keadaan normal.

Oppo test Device20150907_152835

Ujian aplikasi telefon untuk melihat suhu ketika peranti beroperasi di keadaan optimal.

Bilik seterusnya seksaan terhadap peranti meningkat. Butang kuasa ditekan sebanyak 100 000 kali dengan tekanan sebesar 1 Kilogram. Sebuah mesin khas melakukan ujian berkali-kali ini ke atas enam peranti secara serentak. Bersebelahan mesin tekanan butang kuasa ini diletakkan mesin ujian lontaran. Peranti dimasukkan ke dalam kotak besi yang berputar 360 darjah. Kedengaran dengan jelas bunyi peranti berlanggar pada sisi kotak besi berkali-kali.

Di dalam bilik yang sama terdapat juga ujian penutup skrin peranti untuk R7. Penutup dibuka dan ditutup berkali-kali untuk menguji sensor pada bahagian hadapan peranti yang mengaktifkan skrin secara automatik apabila dibuka. Ujian ini juga dilakukan sebanyak 100 000 kali.

 

Pada meja seterusnya terdapat mesin jatuhan jarak pendek setinggi 7 sentimeter. Peranti dijatuhkan pada bahagian belakang, sisi, atas, bawah dan hadapan beratus ribu kali untuk menguji ketahanan.Ujian sambungan MikroUSB dan jack fon kepala pula dilakukan bersebelahan meja ini. Pada waktu yang sama di bilik bersebelahan ujian sambungan MikroUSB ini turut dilakukan secara manual oleh dua orang pekerja wanita. Ini mungkin kerja yang paling aneh pernah kami temui. Bayangkan tugas anda adalah menyambung dan menanggalkan sambungan pengecas sepanjang hari. Ujian bengkokan peranti di dalam poket juga turut diletakkan di dalam bilik ini. Tetapi pada hari lawatan tiada peranti diuji. Mesin ini meletakkan tekanan sebesar 25 kilogram pada peranti yang ditampung oleh kain jeans. Peranti harus menahan tekanan tanpa musnah dan membengkok tidak melebihi 9 mm.

 

Di sebuah bilik ujian jatuhan yang biasanya kami lihat di laman YouTube akhirnya dapat kami lihat sendiri di depan mata. Peranti diletakkan di atas mesin khas yang menjatuhkan peranti dari ketinggian 1.2 meter terus ke atas lantai kebuk ujian yang diperbuat daripada marmar. Setiap kali jatuhan dilakukan pekerja akan kemudian melihat kerosakan yang berlaku sebelum menguji kesemua fungsi asas seperti kamera, nyahkunci, skrin sesentuh dan juga mikrofon peranti.

Mesin ujian jatuhan dari ketinggian 1.2 Meter

Mesin ujian jatuhan dari ketinggian 1.2 Meter.

 

Bilik terakhir ialah bilik yang melakukan ujian paling ekstrem. Ujian ketahanan air dilakukan di dalam mesin yang melakukan simulasi peranti terdedah kepada hujan selama 10 minit. Lima peranti yang hidup diletakkan di atas meja putus dan dihujani air merah yang mewakili air hujan. Terdapat juga sebuah kebuk yang merebus peranti menggunakan wap air masin. Ini adalah ujian pengaratan yang berlaku pada komponen peranti sekiranya terdedah kepada air laut. Wap panas digunakan untuk mempercepatkan proses pengaratan. Bersebelahan kebuk ini terdapat dua mesin yang melakukan ujian suhu melampau pula. Satu mesin membekukan peranti pada suhu -14.48 darjah Celsius manakala sebuah lagi pada suhu 55 darjah Celsius dengan tahap kelembapan 95 peratus.

Terdapat lagi sebuah bilik sisi kecil yang diberi nama bilik penuaan. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar bilik ini tetapi terdapat ratusan peranti Oppo R7 pelbagai saiz yang disusun di atas rak. Suhu bilik ini dikekalkan pada 40 darjah Celsius. Menurut Oppo ini adalah proses penuaan pantas bagi melihat bagaimana setiap komponen berfungsi selepas beberapa tahun.

 

Jadi inilah yang kami lihat di makmal ujian peranti Oppo di kilang mereka di Shenzen. Ujian yang dilakukan nampak amat menyakitkan kerana ratusan peranti akan dimusnahkan semata-mata untuk melihat kualiti binaan peranti. Ratusan peranti yang diuji mungkin nampak seperti pembaziran tetapi kami difahamkan kilang Oppo mampu mengeluarkan 4 Juta peranti setiap bulan. Jadi hanya sejumlah kecil peranti diuji secara rawak setiap hari.

Lawatan ke makmal ujian ini juga membuka mata kami tentang apa yang diuji. Ujian jatuhan sebagai contoh tidak diuji di atas permukaan jalan raya yang tajam. Sesiapa yang pernah melakukan ujian “secara tidak sengaja” pada peranti mereka akan memberitahu anda permukaan marmar tidak seteruk permukaan jalan tar. Oleh sebab itu berhati-hatilah ketika menggunakan peranti. Belilah cangkerang tahan lasak bagi mengurangkan kerosakan yang mungkin berlaku sekiranya ianya terjatuh dari genggaman anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd