Cari @ Amanz

Baru sahaja beberapa bulan peranti telefon pintar terkini dari Asus hadir ke pasaran, kini terdapat lagi variasi Zenfone yang hadir memeriahkan pasaran peranti tempatan. Selepas Asus Zenfone 2 yang mula dijual pada beberapa bulan lepas, kini mereka telah membawa variasi Zenfone yang memfokuskan kepada kamera dan juga fungsi Selfie, iaitu Asus Zenfone Selfie.

Asus Zenfone Selfie
Skrin 5.5-inci 1920×1080 403ppi
Pemproses Snapdragon 615 1.5GHz Octa-core 64-bit
RAM 3 GB
Muatan Dalaman 32 GB (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 + LED Flash Dual-Tone
Kamera Depan 13 Megapixel + LED Flash Dual-Tone
Bateri 3000 mAh (boleh tanggal)
Pengecasan Pantas Boostmaster
SIM/Telefoni Mikro SIM/4G

Dari segi rekabentuk, Asus Zenfone Selfie membawakan rekaan seakan-akan Zenfone 2, dengan badan belakang yang melengkung namun tanpa kemasan Brushed Aluminium pada badan plastiknya. Kemasannya rata secara matte, dengan butang kawalan tahap bunyi dibelakang dan butang kuasa diatas. Salah satu perkara yang membezakan Zenfone Selfie dengan Zenfone 2 adalah dengan kehadiran sensor pemfokusan Laser yang membantu pemfokusan dilakukan dengan pantas menggunakan kamera utama di bahagian belakang peranti ini yang mempunyai sensor pengimejan sebesar 13MP f/2.0 sudut luas.

Seperti namanya, selain dari kamera utama yang dilengkapi dengan sensor pemfokusan Laser, satu lagi perkara utama ialah kamera hadapan yang turut menyertakan sensor pengimejan sebesar 13MP khusus bagi pengguna yang suka mengambil gambar selfie. Malah, dibahagian hadapan peranti ini juga dilengkapi lampu limpah LED Flash dwi-tona membolehkan gambar selfie ditangkap dengan bantuan Flash pada warna yang semula jadi. Kedua-dua kamera ini dilengkapi dengan fungsi PixelMaster 2.0 yang terkenal dengan kebolehan merakam gambar meskipun pada keadaan kekurangan cahaya.

Antara spesifikasi lain pada peranti ini ialah ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 615 1.5GHz 64-bit lapan-teras dengan 3GB RAM dan juga kapasiti storan sebesar 32GB. Seperti biasa peranti Zenfone mempunyai slot kad Mikro-SD bagi menambah kapasiti storan tambahan dan menyokong kapasiti storan sehingga 128GB. Sekiranya anda seorang yang sukakan membawa fail hiburan menggunakan USB, slot Mikro-USB telefon ini boleh turut menyokong USB OTG (On-the-Go). Telefon ini juga mempunyai slot untuk dua kad SIM serta menyokong rangkaian LTE. Dari segi paparan, telefon ini mempunyai skrin bersaiz 5.5 inci dengan resolusi 1080p 403ppi dan beroperasi menggunakan Android Lollipop. Peranti ini mempunyai bateri berkapasiti 3000 mAh yang boleh ditanggalkan.

Menerusi percubaan singkat peranti ini, ia masih beroperasi dengan lancar namun ini juga mungkin kerana peranti ini masih baru dan tidak mempunyai sebarang data dan fail-fail media yang lain. Salah satu perkara yang kurang digemari pada kebanyakan Zenfone adalah aplikasi gendut (bloatware) yang siap sedia dipasang dan akan beroperasi ketika memulakan peranti ini. Zenfone Selfie turut membawakan beberapa aplikasi gendut yang tidak relevan dengan fungsi selfie.

 

Dari segi rakaman gambar dan rakaman selfie, boleh dikatakan pengalaman menggunakannya lebih pantas dan baik. Untuk kamera utama dengan pemfokusan laser, melalui video pandang pertama yang dirakamkan jelas boleh dilihat kepantasan kamera tersebut memfokus ke arah yang disentuh oleh pengguna. Pemprosesan pemfokusan dilakukan dengan pantas juga turut bergantung kepada kadar contrast pemandangan yang dirakam.

Dari segi ujian untuk rakaman selfie, kamera PixelMaster 2.0 13MP pada bahagian hadapan turut mempunyai fungsi Beautification, Skin Smoothing, dan bermacam lagi yang boleh ditetapkan pengguna. Apa yang membezakannya adalah dengan sensor tersebut menjadikan rakaman foto secara Manual boleh diakses, berbeza dari Zenfone 2. Dengan kewujudan fungsi tersebut membolehkan pengguna juga menetapkan kualiti gambar selfie dengan kawalan professional.

 

Zenselfie-1 Zenselfie-2 Zenselfie-3

 

Satu lagi perkara yang kami ketahui sewaktu mencuba peranti ini adalah sekiranya pada Zenfone 2 jika anda melakukan gesture ’S’ sewaktu peranti berada di dalam mod sedia, ia akan melancarkan SMS. Berbeza pada Zenfone Selfie, jika anda melakukan gesture tersebut fungsi kamera Selfie akan terus dilancarkan, membolehkan pengguna merakam gambar selfie dengan pantas meskipun sewaktu telefon berada dalam mod sedia.

Telefon ini hadir untuk pasaran tempatan bermula 11 September pada harga RM 1,049 termasuk kadar GST. Terdapat tiga pilihan warna untuknya iaitu putih, biru dan juga merah jambu dan kesemua kemasan warnanya dilihat lebih feminin, mungkin menyasarkan golongan wanita bagi memilikinya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd