Kami baru pulang dari Beijing dan perkara paling menjengkelkan setiap kali ke negara China ialah halangan penggunaan perkhidmatan Google. Sebagai pengguna tegar Google ia menghalang kami dari melakukan tugasan dengan pantas. Contohnya mencari kadar pertukaran wang apabila mahu membeli barang menjadi sukar kerana Google Now tidak boleh diakses. Google Now sekarang menjadi pembantu yang sangat kami andalkan. Ketiadaannya sangat kami rasai di sana.
Kekosongan perkhidmatan Google di China diisi oleh Baidu. Pada acara Baidu World Conference minggu ini mereka memperlihatkan Duer. Duer (Pembantu Du dalam Bahasa Malaysia) ialah pembantu maya mereka sendiri seakan Google Now, Siri dan Cortana. Ia boleh melakukan carian berdasarkan suara pengguna, melakukan tempahan tiket dan turut dikhabarkan akan beroperasi dengan sistem pemanduan tanpa pemandu yang dibangunkan Baidu bersama BMW. Baidu turut mendakwa sistem carian dan AI yang digunakan Duer adalah jauh lebih pantas berbanding yang digunakan oleh Google ataupun Microsoft. Tidak diketahui pula bilakah Duer akan dilancarkan secara rasmi, adakah ia boleh dimuat turun pengguna di luar China ataupun ia menyokong bahasa selain Mandarin.