Ulasan Oppo R7 – Peranti Nipis Dengan Ketahanan Bateri Yang Baik

Ulasan Oppo R7 – Peranti Nipis Dengan Ketahanan Bateri Yang Baik

Diterbitkan pada Sep 21, 2015 oleh .

Oppo R7 memasuki pasaran Malaysia dalam jumlah yang terhad. Sebaliknya R7 Lite dengan spesifikasi lebih rendah lebih diutamakan pihak Oppo. Apakah perbezaan dua peranti ini? Adakah perbezaan ini membuatkan R7 lebih berbaloi dimiliki oleh anda. Ulasan ini akan cuba menjawab persoalan mereka yang masih tidak tahu model R7 manakah yang harus mereka milik.

Oppo R7 piccasM2480023

Spesifikasi

Oppo R7
Skrin 5.0″ AMOLED (445 ppi)
Pemproses 1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 PDAF
Kamera Depan 8 Megpixel l f/2.4
Bateri 2320 mAh
Pengecasan Pantas VOOC
SIM/Telefoni Nano + Mikro SIM / 4G
NFC Tiiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1598

Jika anda mahukan peranti kompak, nipis dengan buatan yang cantik Oppo R7 akan memenuhi keperluan anda. Ia mempunyai sisi logam dan panel yang diperbuat daripada logam. Rekaan ini pernah saya lihat sebelum ini pada peranti Oppo R5. Tidak seperti R5 ketebalan R7 ditambah sedikit bagi membolehkan jack fon kepala diletakkan pada bahagian atas peranti. Pihak Oppo jelas mendengar komen orang ramai tentang ketiadaan jack fon kepala pada R5 tempohari.

Spesfikasi peranti pula ialah pemproses Snapdragon 615 lapan teras (1.5+10 GHZ), RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman 16 Gigabyte. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 8 pada bahagian hadapan. Kamera utama mempunyai lensa f/2/2 dengan sokongan Phase Detection Auto Focus (PDAF). Kamera hadapan pula mempunyai lensa f/2.4. Bateri yang digunakan adalah sebesar 2320 mAh.

Pada bahagian hadapan kaca 2.5D digunakan bagi membuatkan peranti kelihatan lebih menarik. Butang kuasa logam terletak pada bahagian kiri. Butang suara jenis rocker dan juga slot SIM/KadSD terletak pada bahagian kanan. Talam SIM adalah jenis hibrid dimana anda boleh menggunakan dua SIM (Nano + Mikro) ataupun satu Nano dan satu kad MikroSD. Kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong. Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan MikroUSB. Satu pembesar suara mono saiz sederhana terletak pada panel belakang.

Keseluruhan parameter peranti dan tubuh peranti diperbuat daripada logam. Kemasan panel belakang adalah agak kasar bagi memastikan peranti tidak terlalu licin sehingga memudahkannya tergelincir dari genggaman. Oppo R7 adalah peranti yang nipis tetapi mempunyai kemasan sisi yang bersegi. Ini menyebabkan sisi peranti terasa tajam apabila disentuh. Adalah sedikit kurang selesa menggunakan peranti ini kerana sisi yang tidak dibulatkan seperti yang dilihat pada ZTE Blade S6.

Oppo R7 piccasOppo-R7-pic1

Oppo R7 piccasM2480008

Oppo R7 piccasM2480013


Antaramuka Color OS 2.1

Aneh sekali R7 masih Oppo-R7-UI1menggunakan sistem operasi Android 4.4.4. Ini adalah aneh kerana Oppo R7 Plus dan R7 Lite menggunakan Android 5.1. Ketiga-tiga peranti walalubagaimanapun menggunakan antaramuka Color 0S 2.1.

Tiada talam aplikasi diberikan dan hanya terdapat empat slot pintasan di bawah skrin. Ia juga tidak menyokong butang navigasi di atas skrin. Tiga butang navigasi yang digunakan pula adalah menu, home dan back. Kedudukan butang ini tidak boleh diubah tidak seperti yang mampu dilakukan pada peranti LG, HTC dan ZTE. Untuk melancarkan skrin multi tasking, butang menu perlu ditekan selama beberapa saat. Melancarkan Google Now pula ialah dengan menekan butang home untuk tempoh masa yang sama. Penggunaan butang menu ini sudah ketinggalan zaman dan melambatkan proses menukar aplikasi. Saya merasakan menekan butang home dan menekan ikon aplikasi yang ingin anda gunakan adalah lebih pantas berbanding sistem multi tasking Color OS 2.1. Skrin multi tasking juga hanya mampu menunjukkan 3 aplikasi sahaja pada satu-satu masa dan bukannya jenis bertingkat yang dilihat pada Android 5.1 Vanilla.

 

Oppo-R7-UI2 Oppo-R7-UI4Oppo-R7-UI3

Kustomasi Dan Fungsi Tambahan

Color OS 2.1 membenarkan kustomasi tema yang menyeluruh. Pilihan tema yang boleh dimuat turun menerusi aplikasi Theme juga banyak dan pasti ada yang sesuai dengan jiwa anda. Selain daripada itu animasi skrin apabila tatalan juga boleh diubah mengikut keperluan. Tidak banyak perubahan yang saya sedari pada Color OS 2.1 berbanding versi sebelum ini.

Skrin boleh ditutup dan dibuka semula dengan melakukan aksi dwi-tap. Tatalan ke bawah menggunakan tiga jari pula secara automatik menangkap imej yang dipaparkan. Tatalan ke bawah dan ke atas menggunakan dua jari pula akan mengawal tahap kekuatan audio. Fungsi melancarkan aplikasi dengan melakar bentuk tertentu dari skrin yang dimatikan masih wujud cuma tidak diaktifkan semasa kali pertama peranti digunakan. Ia perlu diaktifkan sendiri oleh pengguna.

Oppo R7 mempunyai skrin hanya sebesar 5″ dan ini memudahkan ia digunakan sebelah tangan. Setiap bahagian skrin boleh diakses menggunakan jari tanpa sebarang masalah. Tetapi jika pengguna mempunyai tangan yang kecil serta jari yang pendek mod sebelah tangan (one handed mode) disertakan. Pengguna hanya perlu mentatal jari dari bucu bawah sebelah kiri ataupun kanan ke bahagian tengah skrin untuk mengaktifkan mod sebelah tangan. Paparan skrin akan mengecil kepada saiz sekitar 3.5″.

Akhir sekali dan ini mungkin fungsi paling menarik ialah Long Screenshot. Beberapa tangkapan paparan skrin boleh diambil menjadi sebuah gambar yang panjang. Zaman mengambil lebih dari satu tangkapan paparan skrin untuk merekod perbualan panjang di WhatsApp contohnya kini boleh dilupakan. Demo penggunaan mod Long Screenshot ini boleh anda lihat di dalam video ulasan di atas.

Oppo-R7-UI5

Telefoni

Oppo-R7-piccasM2480001Peranti menyokong dwi SIM kedua-dua slim diletakkan di dalam talam yang sama. Talam SIM Nano berkongsi dengan kad MikroSD. Sistem Dual SIM Dual Standy digunakan dimana kedua-dua SIM boleh diaktifkan serentak. Kerana perkongsian slot SIM Nano dan kad MikroSD, hanya salah satu boleh digunakan pada satu-satu masa.

Kualiti panggilan telefon menggunakan Oppo R7 adalah baik. Ia menyokong mod panggilan HD Voice. Tahap kekuatan suara juga bagus. Pembesar suara pada bahagian belakang juga amat kuat apabila mod panggilan pembesar suara digunakan.


Kamera

Kamera utama sebesar 13 Megapixel manakala kamera hadapan pula adalah sebesar 8 Megapixel. Pada kedua-dua tetapan resolusi maksimum, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada resolusi 16:9 tetapan kamera utama diturunkan kepada 10 Megapixel dan pada kamera hadapan kepada 6 Megapixel. Kamera utama R7 menggunakan sistem Phase Detection Auto Focus (PDAF) yang memberikan kemampuan memfokus dengan lebih pantas. Sistem ini ialah sistem pemfokusan yang digunakan pada kamera DSLR. Dengan PDAF gambar dapat diambil dengan lebih pantas.

Antaramuka aplikasi kamera R7 adalah mudah difahami. Terdapat butang khas untuk mengakses beberapa pra-tatepan dan fungsi tambahan. Terdapat fungsi Ultra HD yang mengambil gambar pada resolusi 50 Megapixel bagi menghasilkan gambar lebih tajam. Ini kali pertama kami lihat pada Oppo Find 7 tahun lalu. Fungsi GIF Animation pula memudahkan anda menghasilkan animasi GIF. Terdapat juga Camera Shop untuk anda memuat turun pra-tetapan baru secara terus dari Oppo.

Kemampuan video kedua-dua kamera adalah 1080P 30 FPS. Fungsi tambahan di dalam mod kamera yang disertakan terhad kepada fungsi Slow Lens dan Fast Lens. Kelajuan rakaman video boleh diperlahankan dan dipercepatkan menggunakan dua mod ini. Resolusi rakaman video akan dikurangkan kepada 720P apabila dua mod ini digunakan.

Oppo-R7-Camera-UI

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil sepanjang tempoh ulasan. Kualiti gambar agak baik cuma penghasilan semula warna yang sedikit kusam jika dibandingkan dengan warna objek asal. Di dalam kawasan tertutup gambar yang diambil adalah agak gelap. Ini mungkin kerana lensa yang digunakan hanya mempunyai nilai f/2.4. Kadar kemasukan cahaya adalah sedikit terhad menyebabkan gambar menjadi gelap. Sungguhpun begitu masalah noise yang ketara tidak kami sedari. Kemampuan kamera adalah memuaskan bagi sebuah peranti kelas pertengahan.

Oppo R7 piccas IMG20150815144648 Oppo R7 piccas IMG20150815144730Oppo R7 piccasIMG20150818205938 Oppo R7 piccasIMG20150818210233Oppo R7 piccas IMG20150815131325


 

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1.1 x 4 GHz) digunakan dengan RAM sebesar 3 Gigabye. Apabila ujian penanda aras dilakukan markah-markah berikut dicatatkan. Sebanyak 16705 markah dicatatkan pada Quadrant, 28786 markah dicatatkan pada Antutu dan 8065 markah dicatatkan pada Futuremark. Ini meletakkan R7 sebagai antara peranti dengan pemproses Snapdragon 615 yang terbaik pernah diulas di Makmal Amanz.

Pada penggunaan seharian peranti berfungsi dengan baik. Kelajuan tatalan skrin adalah cukup lancar. Masalah sela masa hanya dilihat pada hari pertama peranti digunakan. Mungkin peranti masih baru dan “enjin” harus dipanaskan terlebih dahulu. Kesemua aplikasi yang digunakan berfungsi tanpa sebarang masalah. Tiada kejadian aplikasi terhenti ataupun peranti terpadam dengan sendiri. Masalah kepanasan juga tidak pula saya sedari. Panel belakang menjadi sedikit suam sekiranya aplikasi seperti Waze digunakan. Tetapi ini adalah perkara biasa yang berlaku pada kesemua peranti yang pernah saya gunakan.

Oppo-R7-bencies

Oppo-R7-Benchies-1


 

Bateri

Bateri 2320 mAh digunakan dan ini adalah agak kecil. Sungguhpun begitu ketahanan bateri R7 adalah amat baik. Pada penggunaan berat menggunakan rangkaian 4G, ia mampu bertahan lebih dari 9 jam dengan skrin terpasang hampir 5 jam. Pada penggunaan sederhana pula ia melangkaui 15 jam. Rasanya pada penggunaan harian ia mampu bertahan dari pagi sehingga malam. Jika kehabisan bateri sekalipun ia bukanlah masalah kerana sokongan pengecasan pantas VOOC. Sistem VOOC adalah sistem pengecasan peranti yang terpantas pernah diuji di Makmal Amanz. R7 boleh dicas sehingga penuh kurang dari 70 minit. Ketahanan bateri ialah antara kekuatan R7 berbanding pesaing di pasaran sekarang.


Pesaing

Oppo R7 mempunyai banyak pesaing di pasaran kerana pemproses Snapdragon 615 yang semakin banyak digunakan sejak kebelakangan ini. Mari bandingkan R7 dengan Lenovo Vibe Shot dan Xiaomi Mi4i yang mempunyai spesifikasi hampir setanding.

Telefon Pintar Snapdragon 615
Oppo R7 Lenovo Vibe Shot Xiaomi Mi4i
5.0″ AMOLED FHD (441 PPI) 5.0″ IPS LCD FHD (441 PPI) 5″ IPS LCD FHD (441 PPI)
1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615 1.7 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615 1.7 x 4 + 1.1 x 4 GHz Snapdragon 615
Adreno 405 Adreno 405 Adreno 405
3 Gigabyte 3 Gigabyte 2 Gigabyte
16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 Kamera Utama 16 Megapixel, OIS, f/2.2 Kamera Utama 13 Megapixel f/2/0
Kamera Utama 8 Megapixel f/2.4 Kamera Utama 8 Megapixel f/2.4 Kamera Utama 5 Megapixel f/2.0
2320 mAh (Tidak boleh ditanggalkan) 2900 mAh (Tidak boleh ditanggalkan
3120 mAh (Tidak boleh ditanggalkan)
RM 1598 RM 1399 RM 749

Kesimpulan

Oppo R7 ialah sebuah peranti yang mensasarkan golongan yang mahukan peranti nipis dengan rekaan premium tetapi masih mampu bertahan sepanjang hari. Walaupun dilengkapi pemproses kelas pertengahan, R7 masih mampu berfungsi dengan lancar dan pantas. Saya hanya menyedari masalah sela masa pada hari pertama ia digunakan. Secara keseluruhan memang peranti ini tidak bermasalah.

Android 4.4.4 digunakan dengan antaramuka Color OS 2.1. Perlbagai fungsi tambahan disertakan oleh pihak Oppo di dalam sistem operasi mereka. Fungsi Dwi-tap, kustomasi tema, fungsi sebelah tangan dengan pengecilan skrin dan pelbagai fungsi gerakan jari disokong. Kesemuanya membuatkan penggunaan peranti menjadi lebih mudah.

Kemampuan kamera adalah sederhana. Baik di dalam situasi terang tetapi agak gelap di dalam situasi dengan pencahayaan rendah. Sungguhpun begitu masalah noise tidak berapa ketara di dalam situasi gelap. Pelbagai pratetatapn turut diberikan bagi membolehkan gambar diambil di dalam pelbagai situasi. Rakaman video sedikit bermasalah kerana ketiadaan sistem penstabilan. Apabila kamera bergerak video diambil bergegar. Rakaman pada waktu malam pula tidak lancar. Saya tidak tahu mengapa rakaman di kawasan gelap bermasalah berbanding rakaman di dalam keadaan terang.

Ketahanan bateri adalah mengagumkan bagi peranti dengan saiz bateri hanya sebesar 2320 mAh. Mampu bertahan hampir 10 jam pada penggunaan berat dan seharian pada penggunaan sederhana. Dengan fungsi pengecasan pantas VOOC anda tidak perlu risau dengan masalah kehabisan bateri. Peranti dapat dicas sepenuhnya dalam masa 70 minit.

Kekurangan adalah pada penggunaan butang menu pada butang navigasi. Ianya sudah ketinggalan dan digantikan dengan butang multi tasking pada peranti terkini di pasaran. Ini melambatkan proses penukaran aplikasi. Butang navigasi juga tidak berlampu menyukarkan penggunaan pada waktu malam. Akhir sekali kerana ianya nipis dan tidak mempunyai sisi bulat, ia agak kurang selesa untuk digenggam di dalam tangan untuk jangka masa yang lama.

Di akhir hari Oppo R7 ialah peranti yang berfungsi dengan lancar, mempunyai ketahanan bateri yang sangat baik serta rekaan yang premium. Pada harga RM1598 harga yang jualannya sedikit kurang kompetitif jika dibandingkan dengan pesaing. Tetapi jika anda mahukan peranti yang boleh diandalkan setiap hari dan mempunyai ketahanan bateri yang baik, R7 adalah peranti yang tidak mengecewakan.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan logam dan kaca yang cantik pada masa yang sama mempunyai tubuh yang nipis.
  • Berfungsi dengan lancar sepanjang tempoh ulasan. Tiada masalah sela masa.
  • Pelbagai fungsi tambahan seperti dwi-tap, kustomasi tema dan fungsi gerakan jari disokong.
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Bateri mampu bertahan lebih 9 jam pada penggunaan berat walaupun berkapasiti kecil. Sokongan pengecasan pantas VOOC turut disertakan.
KONTRA dan Kekurangan
  • Masih menggunakan Android Kit Kat.
  • Butang navigasi masih menggunakan butang menu bukannya butang multi tasking. Ia juga tidak berlampu
  • Tiada NFC.

Skor-Oppo-R7

 

TIPS & ULASAN