Cari @ Amanz

Peranti yang anda pegang di tangan anda lebih berkuasa dari 99% komputer desktop yang pernah anda gunakan pada awal Milenium yang lalu. Ia juga beribu kali ganda lebih berkuasa dari komputer yang digunakan untuk mendaratkan modul Apollo di permukaan bulan. Kesemua kuasa pengkomputeran di hujung jari anda sekarang malangnya hanya digunakan untuk memuat naik gambar ke laman media sosial ataupun bermain aplikasi permainan.

gamebeat-1

Kami secara peribadi kurang menggemari bermain menggunakan telefon pintar kerana ia memakan bateri dan sistem kawalan skrin sesentuh yang kurang mesra pengguna. Sekiranya perlu kami menambat pengawal PlayStation 3 untuk digunakan pada peranti kami. Tetapi pengawal ini terlalu besar dan tidak mudah alih. Dengan cangkerang Gamebeat anda kini mempunyai pengawal permainan yang mudah dibawa kemana-mana.

Pengawal permainan terbina terletak pada penutup cangkerang. Ia ditambat secara Bluetooth kepada peranti anda. Terdapat 13 butang kesemuanya termasuk dua tombol kawalan analog yang diperbuat daripada bahan bergetah. Sebanyak empat saiz cangkerang dihasilkan bagi memuatkan peranti dengan saiz skrin di antara 4.5″ sehingga 6″. Penutup cangkerang juga mempunyai engsel yang keras supaya posisi skrin boleh ditetapkan mengikut kehendak pengguna. Ini adalah sama seperti engsel komputer riba 4 dalam 1 seperti Lenovo Yoga. Cangkerang ini sesuai digunakan oleh peranti Android sahaja buat masa ini. Harga jualan bermula dari $45 sebuah.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd