Cari @ Amanz

Helikopter ialah pesawat pelbagai guna yang mudah terbang dan mendarat di dalam kawasan yang kecil. Idea helikopter sudah wujud sejak zaman Leonardo da Vinci lagi dan hanya mula digunakan secara meluas ketika Perang Vietnam. Kawasan hutan Vietnam yang tebal memerlukan pesawat tentera yang mudah membawa masuk askar infantri Amerika Syarikat dan membawa mereka keluar selepas misi berakhir.

Jika dilihat dari segi rekaan, bentuk asas helikopter tidak banyak berubah. Ianya juga mempunyai kekurangan kerana tidak mudah mendarat di kawasan yang tidak rata. Projek Mission Adapative Rotor dibangunkan oleh DARPA bagi membolehkan helikopter mendarat di kawasan tidak rata dengan mudah. Sebuah dron dipasangkan dengan “kaki” robotik yang membolehkan ia mendarat di kawasan tidak rata. Kaki robotik ini akan bergerak secara automatik bagi memastikan helikopter sentiasa satah dengan permukaan bumi apabila mendarat. Helikopter dengan sistem ini boleh mendarat dengan selamat di kawasan dengan kecerunan mencecah 20 darjah. Ini adalah dua kali ganda had kecerunan yang dibenarkan pada helikopter sekarang.

Secara teorinya helikopter boleh mendarat dengan selamat di atas geladak kapal pengangkut yang condong ketika lautan bergelora. Ia juga mampu mendarat di kawasan berbatu untuk melakukan misi menyelamat seperti selepas tanah runtuh. Seperti biasa projek kendalian DARPA ini akan digunakan terlebih dahulu oleh pihak tentera sebelum digunakan di sektor awam.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd