iOS 9.1 Akan Menyokong Emoji Kaabah Dan Masjid

iOS 9.1 Akan Menyokong Emoji Kaabah Dan Masjid

Diterbitkan pada Sep 14, 2015 oleh .

Emoticon sudah digunakan di atas talian sejak 1982. Ia pertama kali digunakan oleh Scott Fahlman pada 19 September 1982 di laman diskusi sains Universiti Carnegie Mellon. Emoticon yang digunakan beliau adalah :-) dan :-( bagi memudahkan pengguna mengetahui sama ada mesej yang ditulis adalah jenaka ataupun serius. Selepas 33 tahun, penggunaan emoticon digantikan pula oleh penggunaan emoji. Emoji diperkenalkan oleh syarikat telekomunikasi Jepun NTT DoCoMo bagi memudahkan pengguna berkomunikasi sesama sendiri melalui lukisan kecil. Kini penggunaannya semakin popular di seluruh dunia dan setakat ini hampir 1000 emoji telahpun dihasilkan. Malangnya tidak semua emoji disokong oleh peranti kerana had yang ditetapkan oleh sistem operasi.

emoji-kaabah-ios-9.1

iOS 9.1 yang dijangka tiba November ini akan menambah beberapa lagi emoji baru yang menggunakan standard Unicode 8.0 dan Unicode 7.0. Antara emoji baru yang diperkenalkan ialah emoji berbentuk keagamaan seperti Kaabah, masjid, sinagoga, lilin menorah dan tasbih. Kepada yang merungut mengapa selama ini hanya emoji rumah beribadah Kristian sahaja disokong, anda boleh berhenti merungut. Pada waktu yang sama emoji jari tengah yang sekian lama diminta oleh pengguna juga akhirnya akan disokong. Sebenarnya emoji jari tengah dan 102 lagi emoji baru ini sudah diluluskan Unicode 7.0 sejak Jun 2014.

Setakat ini hanya iOS 9.1, Windows 10 dan LG G4 menyokong Unicode 7.0. Standard Unicode 8.0 pula disokong oleh iOS 9.1, OSX dan Windows 10. Kepada penganut agama selain Islam, Kristian dan Yahudi nampaknya anda perlu menunggu lebih lama sebelum emoji rumah ibadah anda disokong oleh sistem operasi peranti pilihan anda.


TIPS & ULASAN