Cari @ Amanz

Mark Zuckerberg sebelum ini telah menyatakan sokongan untuk teknologi realiti-maya, malah telah mengambil-alih Oculus, selain turut mengatakan realiti-maya sebagai teknologi perkomputeran akan datang. SelaiN Facebook, pelbagai syarikat lain turut melabur dalam arena sama dan bersaing hebat dalam mengumpulkan kandungan untuk platform masing-masing.

Kini, menurut WSJ, Facebook dilaporkan sedang membangunkan sebuah aplikasi baru dalam usaha untuk menarik minat pengguna ke arena realiti-maya ini. Aplikasi mudah-alih yang akan hadir ke platform Android dan iOS ini kelak dikatakan akan menawarkan video dengan paparan 360-darjah atau turut dikenali sebagai video sfera.

Melalui video berformat baru ini kelak, ia dikatakan akan membolehkan pengguna mengubah paparan perspektif mereka dengan mengerakkan telefon mereka – dan apa yang dipaparkan berubah mengikut sudut pandangan pengguna.

Facebook dikatakan masih pada peringkat awal pembangunan aplikasi ini, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan dilancarkan secara rasminya. Walaupun pengalamannya mungkin tidak interaktif seumpama penggunaan realiti-maya sebenar seperti pada Oculus Rift, aplikasi ini mungkin akan membantu memasarkan teknologi baru ini, dan menarik lebih ramai untuk menggunakan realiti-maya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd