Jerebu yang melanda Malaysia sekarang sudah mencapai tahap bahaya. Sekolah di Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka diarahkan tutup hari ini kerana kualiti udara mencecah tahap bahaya. Ini adalah acara tahunan dan Singapura serta Malaysia kemudian menuding jari ke arah Indonesia kerana tidak menangani masalah pembakaran terbuka di kawasan ladang. Apa yang kita sering lupa ialah Kuala Lumpur akan mengalami jerebu sepanjang tahun sama ada berlaku kebakaran di Indonesia ataupun tidak. Tahap pencemaran akibat asap kenderaan bermotor ialah isu yang tiada siapa nampaknya ambil peduli.
Di China minggu lagi kami menyedari kualiti udara di Beijing sudah banyak berubah berbanding kali terakhir kami ke sana tujuh tahun yang lalu. Langit kini biru dan tiada lagi bau asap. Apabila ditanya kepada pemandu pelancong beliau menjawab kerajaan China memerangi kenderaan lama yang menghasilkan asap berlebihan. Kenderaan lama ini digantikan dengan kenderaan dengan piawai pengeluaran asap yang lebih selamat, bas elektrik dan juga motosikal elektrik.Jadi sedang kita peduli tentang kualiti udara yang teruk, mungkin tiba masanya kita meniru apa yang dilakukan oleh Beijing.
Feddz ialah sebuah motosikal elektrik yang direka di Jerman untuk kegunaan dalam bandar. Ia mempunyai rekaan bergaya tetapi masih mempunyai ruangan kargo dengan isipadu 25 liter di bahagian bingkai tengah. Pada bahagian stereng terdapat sistem navigasi GPS moden yang boleh ditambat kepada peranti pintar. Turut disertakan ialah port pengecasan USB untuk mengecas peranti. Feddz mampu bergerak pada kelajuan maksimum 45 kilometer sejam. Bergantung kepada saiz bateri yang digunakan ia mampu bergerak di antara 75 hingga 100 kilometer dengan sekali cas. Bercakap tentang pengecasan, bateri e-motosikal ini boleh ditanggalkan dan dicas menggunakan palam elektrik biasa.
Mungkin motosikal elektrik seperti Feddz harus diperkenalkan di ibu kota. Tak guna merungut saban tahun tentang sikap acuh tak acuh pemerintah Indonesia sedangkan kerajaan kita sendiri tiada inisiatif serius untuk memperkenalkan kenderaan elektrik secara meluas bagi mengurangkan masalah jerebu di negara sendiri. Tepuk dada tanya topeng muka anda.