Oppo Malaysia hari ini mengumumkan penawaran telefon pintar berspesifikasi rendah terbaru daripada mereka, dinamakan sebagai Oppo Joy 3. Telefon pintar dengan skrin bersaiz 4.5-inci ini akan ditawarkan bermula Hari Malaysia (16 September 2015) ini, pada harga jualan RM468.
Oppo Joy 3 hadir dalam pilihan warna putih dan juga kelabu, dan membawakan rekaan yang sedikit melengkung pada bahagian tepi dalam menawarkan keselesaan ketika pengguna memegangnya pada tangan.
Dari segi spesifikasi, Oppo Joy 3 ini dijana menggunakan cip pemprosesan empat-teras 1.3Ghz, memori 1GB RAM, dan ruangan storan 4GB yang boleh diperluaskan menggunakan mikro-SD. Telefon pintar ini membawakan kamera belakang 5-megapixel dan juga kamera hadapan 2-megapixel.
Pengguna turut boleh menggunakan dwi-SIM pada telefon pintar ini. Oppo Joy 3 menggunakan ColorOS 2.0 berasaskan kepada Android 4.4 KitKat.
Bagi anda yang berminat, boleh mula mendapatkannya daripada para pengedar rasmi Oppo seluruh negara bermula 16 September 2015 ini pada harga RM468.