Apple hari ini secara rasminya telah pun mula menawarkan kemaskini iOS9 kepada pengguna peranti mudah-alih daripada Apple, iaitu iPhone, iPad dan juga iPod Touch.
Kemaskini ini membawakan beberapa fungsi baru, termasuk antaranya adalah sokongan multi-tasking untuk beberapa iPad terpilih, fungsi Proactive Assistant, kebolehan mengaktifkan penggunaan masa bateri yang lebih dibawah Low Power Mode, sokongan carian yang lebih baik, integrasi aplikasi Apple News, kemaskini untuk Notes, dan pelbagai fungsi menarik lain lagi.
Apple turut memfokuskan kepada pengoptimasian sistem operasi, dan saiz pemasangan untuk sistem operasi iOS 9 adalah lebih kecil berbanding dengan iOS8 sebelum ini.
Kemaskini iOS9 ini ditawarkan secara percuma untuk pengguna iPad 2, iPad 3, iPad 4, iPad Air, iPad Air 2, iPad Mini, iPad Mini 2, iPad Mini 3, iPhone 4s, iPhone 5, iPhone 5c, iPhone 5s, iPhone 6, iPhone 6 Plus dan juga iPod Touch 5.
- Kemaskini 1.15 pagi : Ramai pengguna melaporkan mereka menghadapi masalah untuk muat-turun kemaskini ini, dan Apple hanya sekadar memaparkan notifikasi “Software Update Failed” ketika proses kemaskini dilakukan.
(Gambar : Amir Farhan)
- Kemaskini 1.43 pagi : Masalah ini dilihat dihadapi oleh pengguna iPhone sahaja, sebaliknya tiada masalah untuk iPad. Pengguna boleh mengatasi masalah muat-turun pada iPhone ini dengan menghubungkan peranti ke komputer, dan mengemaskini menggunakan iTunes.