Ericsson merupakan salah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan telekomunikasi kepada penyedia rangkaian telekomunikasi. Terkini, mereka telah menguji fungsi panggilan melalui WiFi bersama-sama salah satu syarikat telekomunikasi tempatan – tanpa menamakan nama syarikat berkenaan.
Menurut Ericsson, syarikat telekomunikasi utama akan menawarkan sokongan panggilan WiFi pada tahun hadapan, dan mungkin akan turut diikuti oleh pelbagai penyedia lain.
Melalui sokongan panggilan WiFi, ia membolehkan para pengguna untuk membuat panggilan telefon biasa mahupun menghantar SMS menggunakan rangkaian WiFi – walaupun pada lokasi dimana rangkaian penyedia telefon mereka adalah lemah. Ia menggunakan fungsi terbina pada telefon pintar pengguna- dimana kebanyakkan telefon terkini menyokongnya.
Perkara ini juga dijangka akan mengatasi masalah rangkaian yang sering dihadapi pengguna, terutamanya jika mereka berada pada bangunan yang tinggi, ataupun jika berada di pedalaman. Memandangkan kebanyakkan lokasi kini diliputi sokongan WiFi – seperti di pejabat dan rumah, maka ini secara tidak langsung akan membantu pengguna dalam mendapatkan rangkaian yang stabil.
Jadi, sama-sama kita lihat pada tahun hadapan, syarikat telekomunikasi Malaysia yang manakah akan menjadi terawal untuk melancarkannya kepada semua pengguna.