Beberapa kali kita telah melihat gambar peranti Android pertama daripada BlackBerry tertiris, dinamakan sebagai BlackBerry Venice. Kini, turut hadir beberapa gambar rakaman baru yang mana memperlihatkan beberapa tetapan perisian baru yang dibawakan oleh BlackBerry pada telefon pintar mereka.
Daripada gambar-gambar baru yang tertiris ke arena web ini, ia memperlihatkan beberapa tetapan yang akan disertakan pada peranti BlackBerry ini, dan pada masa yang sama menggunakan antaramuka asas Android tanpa sebarang penambahan seperti pelbagai pengeluar lain.
Namun, beberapa perubahan yang dibawakan adalah penyertaan integrasi sokongan BlackBerry, sebagai contoh, apabila menekan butang Home untuk seketika, ia membuka akses kepada Google Now dan juga pada masa yang sama membawa akses ke carian dan juga BlackBerry Hub.
BlackBerry juga turut menyertakan paparan tetingkap kecil untuk aplikasi yang dibuka, dan ia dipaparkan dengan saiz lebih besar jika anda kerap membukanya. Paparan pada bahagian widget juga agak berbeza, selain pengguna turut oleh menambah shortcut ke beberapa tetapan BlackBerry dengan mudah.
Dari segi spesifikasi, peranti dengan papan kekunci boleh-luncur ini menggunakan cip Snapdragon 808, kamera belakang 18MP, dan dijangka menggunakan memori 3GB RAM.
BlackBerry dijangka mengumumkan telefon pintar baru ini sekitar bulan November ini.