SPAD telah beberapa kali mengeluarkan amaran berkaitan dengan penyalah-gunaan kenderaan persendirian untuk tujuan mengambil pelanggan dan sebagainya. Namun, ia tidak diendahkan, malah Uber dan GrabCar terus beroperasi seperti biasa.
Dalam membolehkan para pelanggan terus dapat menggunakan perkhidmatan berkenaan tanpa terjejas, kini pihak SPAD dilihat akan memperkenalkan undang-undang baru yang memerlukan penyedia perkhidmatan atau aplikasi seumpama GrabCar dan Uber untuk mematuhinya.
Melalui perubahan pada undang-undang baru ini, penyedia perkhidmatan dan aplikasi seumpamanya boleh dipantau, malah jika pemandu yang menggunakannya membuat sebarang kesalahan, maka syarikat penyedia tersebut boleh dibawa ke mahkamah.
Pada hari ini, terdapat pemandu Uber dan GrabCar menggunakan kenderaan persendirian untuk menyertai perkhidmatan tersebut, yang mana dihalang oleh kerajaan memandangkan ia tidak melindungi para pengguna jika terlibat dalam kemalangan dan sebagainya. Malah penggunaan kenderaan untuk tujuan tersebut juga bertentangan dengan piawaian yang ditetapkan bank jika mereka membeli kenderaan tersebut menggunakan pinjaman bank.