Kerusi roda elektrik meningkatkan kemampuan OKU lumpuh untuk berdikari. Pengguna tidak perlu menggunakan tenaga untuk bergerak dari titik A ke titik B. Kerusi roda elektrik masih tidak digunakan secara meluas di negara kita kerana kos unit dan selenggara yang mahal. Tambahan lagi kemudahan mesra pengguna OKU berkerusi roda di Malaysia masih lagi belum di tahap memuaskan.
MaxDrive MX2 ialah motor elektrik yang mengubah kerusi roda konvensional menjadi sebuah kerusi roda pintar bermotor. Ia dipasangkan pada gandar roda utama kerusi roda yang sedia ada dan akan menolak pengguna pada kelajuan 9 kilometer sejam. MaxDrive MX2 ditambat secara Bluetooth kepada gelang yang dipakai oleh pengguna. Accelerometer di dalamnya mengesan pergerakan laju ke hadapan untuk memulakan perjalanan. Untuk berhenti pengguna perlu menekan sensor pengesan pada tali gelang ke rim tayar kerusi roda. Pengeluar MaxDrive MX2 mendakwa bateri 3.4 Ah yang digunakan boleh menolak kerusi roda sejauh 19 kilometer sebelum perlu dicas. Harga jualan pula ialah $6000 (RM 25400) sebuah.