Setelah empat bulan berlalu sejak pusingan pertama perkongsian dari 7 startup yang menjalani program Cyberview Living Lab Accelerator yang dikelokakan oleh WatchTower & Friends (CLLA-WTF), semalam terdapat 7 lagi startup bagi pusingan kedua program ini yang mempersembahkan projek mereka untuk umum.
CARdio
Jika anda seorang pengguna peranti pemantauan kesihatan seperti Fitbit, mungkin anda menginginkan peranti sepertinya namun untuk memantau ‘kesihatan’ kereta anda. CARdio yang hadir dengan slogan ‘Fitbit untuk kenderaan anda’, berfungsi bagi memantau perkara seperti kecekapan pemandu, jarak pemanduan, penjejak kenderaan dan menariknya ia tidak memerlukan pemasangan yang kompleks.
Jom Fishing
Bidang hobi memancing merupakan salah satu hobi yang tidak dikatakan ramai didalam arena digital. Menyedari hakikat tersebut, projek Jom Fishing mengetengahkan solusi digital untuk memenuhi kehendak pemancing, membolehkan pemancing bukan sahaja mendapatkan kelengkapan untuk memancing, malahan boleh mengetahui penyedia perkhidmatan bot yang menyediakan kembara untuk memancing di laut dan sungai terpilih.
Door 2 Door Doctor
Kini terdapat pelbagai perkhidmatan yang boleh hadir ke rumah anda dari barangan runcit sehinggalah kepada Doktor. Projek Door 2 Door Doctor membolehkan doktor hadir ke rumah pesakit dan juga melakukan diagnosis penyakit. Ini semestinya memudahkan pesakit yang tidak mampu hadir ke hospital dan sekaligus menyenangkan pesakit. Startup yang telah mengendalikan lebih dari 1000 pesakit bermula awal tahun ini juga merupakan startup pilihan hadirin untuk acara ini.
TalkScreen
Berlainan dengan startup yang lain mengetengahkan produk, TalkScreen membawakan projek bagi menjadi saluran yang khusus dibuat untuk mengulas filem. Mereka juga turut mempunyai perancangan untuk menghasilkan aplikasi yang membolehkan penggunanya memuatnaik ulasan sendiri berkenaan filem malah, dengan aplikasi tersebut, ulasan berbentuk video boleh diberikan untuk setiap krew filem tersebut.
WeTeach
Projek WeTeach merupakan salah satu projek yang ingin menjadi penghubung antara tenaga pengajar dan juga pelajar. Menerusinya pelajar boleh mencari cikgu tuisyen yang menawarkan kelas dan cikgu tuisyen pula boleh mengiklankan kelas mereka. Menariknya mereka turut mempunyai pendanaan sumber terbuka untuk tuisyen, bagi membolehkan pelajar yang tidak berkemampuan memperoleh dana sumber terbuka bagi tujuan pembelajaran.
Logikation
Bagi anda yang mengetahui sistem pemantauan pintar seperti NEST, Logikation merupakan penyedia infrastruktur perkhidmatan seperti ini. Perkhidmatan seperti ini biasanya memantau ancaman, suhu, tenaga elektrik dan mereka menyasarkan untuk menjual pelayan (server) ini pada harga yang mampu milik bagi memenuhi kehendak ramai.
GuarDia
Kadangkala apabila kita ingin mengadakan sesuatu acara, kita memerlukan krew yang boleh membantu baik dari segi teknikal mahupun sebagai model yang memperagakan produk. Kini dengan GuarDia, laman web ini berhasrat ingin menjadi ‘Uber untuk krew acara’. Ia membolehkan penggunanya mendaftar untuk mendapatkan kerja sebagai krew acara sekaligus memudahkan pihak penganjur yang mencari krew acara mendapatkan krew yang mempunyai kebolehan tertentu. Buat masa ini, GuarDia hanya terhad kepada bandar Kuching, dan perkhidmatannya akan bertambah meluas pada masa hadapan.
Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program Cyberview Living Lab Accelerator yang dikelolakan oleh WatchTower & Friends ini, anda boleh mengetahuinya dengan lebih lanjut dilaman rasmi program ini.