Desas-desus mengenai nama baru untuk telefon Nexus telah kedengaran sejak beberapa minggu yang lepas, dan hari ini, gambar kotak akhir untuk kedua-duanya hadir ke arena web, sekaligus mengesahkan penggunaan nama Nexus 5X dan juga Nexus 6P.
Telefon pintar Nexus keluaran pihak LG yang dikatakan akan membawakan skrin bersaiz 5.2-inci ini bakal dikenali dengan nama Nexus 5X, sementara telefon pintar keluaran Huawei dengan skrin bersaiz 5.7-inci pula akan dikenali dengan nama Nexus 6P.
Kedua-duanya dijangka akan menyertakan ciri-ciri baru seperti sokongan pengimbas cap jari, USB Type-C, serta menjadi peranti terawal di pasaran menggunakan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow.
Google bakal mengumumkan kedua-duanya secara rasmi pada minggu hadapan, dimana kita akan mendengar lebih lanjut mengenainya – dan mungkin mengapa mereka memilih penggunaan nama baru ini.