Meizu hari ini melalui sebuah acara yang diadakan di Beijing, China telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, dinamakan sebagai Meizu Pro 5. Telefon pintar ini menjadi telefon pintar pertama mereka dibawah keluarga “Pro” – memberikan petanda yang mana ia membawakan penawaran premium dan spesifikasi yang tinggi.
Keluarga Pro merupakan keluarga peranti berbeza dengan MX dan Note sebelum ini – dimana ia memfokuskan bukan sahaja kepada spesifikasi, tetapi pelbagai perhatian turut diberikan kepada rekaan peranti dibawah keluarga Pro, termasuk pemilihan bahan yang digunakan untuk binaannya.
Meizu Pro 5 merupakan telefon pintar pertama dibawah keluarga Pro ini. Meizu Pro 5 menggunakan paparan 1080p sahaja dan bukannya 2K. Meizu mengatakan penggunaan paparan 2K masih tidak relevan dan tidak berguna buat masa ini memandangkan ia tidak membawakan perubahan besar pada mata pengguna – dan pada masa yang sama menggunakan tenaga bateri yang tinggi. Meizu Pro 5 menggunakan skrin 5.7-inci Super AMOLED – dan dikatakan membawakan paparan sama seperti di Galaxy S6. Meizu Pro 5 turut menggunakan skrin 2.5D untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding skrin biasa.
Meizu Pro 5 dilengkapi dengan sokongan dwi-SIM 4G LTE. Seperti biasa, dengan penggunaan rangkaian 4G LTE, ia membolehkan pengguna menikmati kadar muat-turun sehingga 300Mbps. Meizu turut menekankan, mengatakan kualiti panggilan menggunakan Meizu Pro 5 lebih pantas dan jelas berbanding kebiasaan.
Meizu Pro 5 menggunakan cip berasaskan rekaan 14nm daripada Samsung, yang menawarkan kuasa pemprosesan lapan-teras 2.1Ghz. Meizu mengatakan cip ini berkali ganda berbanding dengan Snapdragon 810, disamping pada masa yang sama menjimatkan penggunaan tenaga bateri.
Untuk storan, Meizu Pro 5 menggunakan storan berasaskan UFS 2.0 yang menawarkan kadar bacaan dan simpanan sehingga 4 kali berbanding kebiasaan. Untuk memori, Meizu Pro 5 menggunakan memori dalam pilihan 4GB RAM dan juga 3GB RAM. Dengan penggunaan pelbagai spesifikasi terkini, dan seumpama apa yang ditawarkan pada Galaxy S6 sebelum ini.
Meizu menggunakan bateri berkapasiti 3050mAh, dan dioptimasikan sepenuhnya untuk penjimatan tenaga. Daripada percubaan Meizu, mereka mengatakan dengan membuat peranti berkenaan dalam mod stand-by selama sepanjang hari, ia hanya menggunakan bateri sehingga 4% sahaja. Untuk tujuan pengecasan, ia menggunakan pengecas berasaskan USB Type-C, dan pengguna boleh mengecas sehingga 65% dalam masa kurang 30 minit.
Untuk rakaman gambar, Meizu Pro 5 menggunakan sensor IMX230 daripada Sony, dan menggunakan sebuah cip khusus untuk tujuan pemprosan gambar. Pengguna dikatakan boleh merakamkan gambar dalam masa kurang 0.7 saat – menawarkan masa fokus terhadap gambar yang sangat laju. Pengguna turut boleh merakamkan video 4K menggunakan kamera pada Meizu Pro 5 ini.
Melengkapkan peranti Meizu Pro 5 ini juga adalah sokongan audio untuknya, dimana pihak Meizu mengatakan mereka bekerjasama dengan Harmon Kardon untuk menawarkan kualiti audio yang baik. Mereka juga turut melengkapkan fon telinga khusus untuk pembelian versi 64GB dan ke atas.
Bagi tujuan sekuriti, butang utama pada Meizu Pro 5 juga turut dilengkapi dengan sokongan pengimbas cap jari. Pengguna boleh menggunakannya untuk tujuan log masuk ke peranti daripada lockscreen, selain untuk tujuan pembayaran (di China).
Meizu Pro 5 turut hadir dengan sokongan bantuan dinamakan sebagai mSupport, dimana selain daripada penawaran sokongan khidmat pelanggan melalui telefon, menggunakan mSupport, Meizu boleh menawarkan bantuan dengan mengakses peranti pengguna secara remote daripada pusat khidmat Meizu. Seperti biasa, pengguna perlu memberikan kebenaran terlebih dahulu sebelum pihak Meizu dapat mengakses peranti anda pada sesuatu masa. mSupport akan diuji bermula bulan Oktober ini, dan dilancarkan secara rasmi pada bulan November di China.
Meizu Pro 5 hadir dengan versi Flyme 4.5, dan pengguna boleh mengemaskini ia kepada Flyme 5 bermula bulan November kelak. Meizu akan menawarkannya bermula 15 November kelak, membawakan beberapa fungsi baru, termasuk memfokuskan kepada multi-tasking dan paparan lebih banyak kandungan pada skrin.
Meizu Pro 5 akan mula dijual di China bermula bulan Oktober ini, dimana ia membawakan harga jualan bermula RMB2799 di China, iaitu sekitar RM1908. Beberapa variasi penawaran disediakan, termasuk bundle dengan speaker Harmon Kardon. Tarikh jualan pasti untuk Malaysia masih tidak diketahui buat masa ini.