Cari @ Amanz

Beberapa bulan yang lalu kami telah mengulas kad grafik siri R9 290 Tri-X yang merupakan kad grafik berprestasi tinggi yang memenuhi kehendak mereka yang mahukan kualiti grafik yang terbaik, terutamanya bagi kegunaan permainan video komputer. Terbaru kami juga telah mencuba kad siri R9 290 yang lebih laju dan mempunyai RAM yang lebih iaitu R9 290X Vapor-X 8GB RAM

AMD Sapphire R9 290X Vapor X -IMG_9665

Rekabentuk & Spesifikasi

AMD Sapphire R9 290X Vapor X -IMG_9668Kad grafik AMD Sapphire R9 290X Vapor-X ini sekali lihat seakan-akan serupa dengan siri Tri-X yang diulas sebelum ini, membawakan tiga kipas penyejuk namun ia lebih laju dari segi kuasa pemprosesan grafik yang telah dioptimasikan pada kelajuan 1000MHz dengan memori pada kelajuan 1400 MHz. Kad Vapor-X juga mempunyai skema warna berlainan, mengetengahkan warna biru. Selain dari itu, kapasitornya menggunakan aluminium berkualiti tinggi dan oleh kerana kuasa pemprosesannya yang tinggi, terdapat dua soket 8-pin yang perlu dicucuk bagi menyalurkan kuasa secara terus dari Power Supply Unit. Soket kuasa ini wajib dipasang dan jika tidak, kad ini tidak akan beroperasi.

Seperti kad grafik siri AMD R9 yang lain dari Sapphire, kad ini lebih besar dan memerlukan hampir tiga slot lubang pada panel belakang komputer bagi memasangnya kepada kabel-kabel paparan skrin. Kad yang hadir dengan 8GB DDRAM ini juga mempunyai sirip penyejuk untuk setiap RAM tersebut, agak berbeza dengan Tri-X. Bahagian belakangnya pula ditutup dengan plat besi dengan label Vapor-X sekaligus memberikan kekemasan dan membuatkan kad ini kelihatan cantik apabila sambungan komponen pada papan litar tidak kelihatan. Pada bahagian ini juga terdapat suis untuk membolehkan kipas pada kad grafik ini dikawal kelajuannya, membuatkannya tidak bising. Sekiranya pengguna menghidupkan suis ini, hanya satu kipas akan berjalan sehinggalah apabila pengguna memulakan permainan dimana kesemua kipas akan dihidupkan.

 

Bagi menggunakan kad ini, pengguna disarankan untuk memiliki cesi PC yang besar kerana saiz kad ini lebih panjang dari kebanyakan motherboard. Sama seperti R9 290 Tri-X, kad grafik ini mempunyai butang ‘Dual BIOS’ pada logo jenama Sapphire. Fungsi ini membolehkan pengguna memilih untuk mengaktifkan mod UEFI, ataupun mod asal ‘Legacy’. Fungsi ini diwujudkan bagi memberikan kebebasan pada pengguna yang inginkan PC dihidupkan dengan lebih cepat menggunakan mod UEFI.

Antara aksesori yang disertakan bersama kad grafik ini adalah kabel HDMI dan kabel kuasa 8 Pin kepada 4 Pin. Fungsi-fungsi yang disokong pada kad grafik ini termasuklah ia menyokong dua soket Dual-DVI, paparan HDMI yang menyokong grafik 3D, dan juga satu soket DisplayPort 1.2. Selain dari itu, palam HDMI-nya menyokong audio 7.1 channel, dan antara fungsi lain yang disokong kad grafik ini termasuklah AMD Eyefinity 2.0, AMD CrossFireX, DirectX 12, OpenGL 4.3, Mantle, Dolby TrueHD serta menyokong resolusi 4K.

Prestasi

AMD Sapphire R9 290X Vapor X -IMG_1064Seperti ulasan terdahulu, memandangkan sistem PC kami merupakan sistem berspesifikasi pertengahan yang menggunakan cip pemprosesan AMD APU A10-5800K dan juga dikuasakan oleh RAM Kingston HyperX Beast 2x4GB, ianya tidak cukup untuk membuatkan kad grafik berprestasi tinggi ini beroperasi pada kelajuan tertinggi. Oleh kerana cesi kami kecil, kami telah mengujinya pada sistem desktop milik Asia PC Extreme Syndicate atau lebih popular disebut APES.

Bagi menguji kad grafik berprestasi tinggi ini, sistem PC yang berprestasi tinggi digunakan untuk pengujian ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-5960X 3.0GHz lapan-teras, 4 x 4GB RAM Gskill 1066 MHz, motherboard ASUS Rampage V Extreme dan juga 256GB Liteonit SSD serta beroperasi menggunakan Windows 8.1 64-bit.
Dari pengujian menerusi aplikasi 3Dmark, kad grafik ini memperoleh markah yang tertinggi didalam pengujian Firestrike 1.1, Sky Diver 1.0, Cloud Gate 1.1, dan juga Ice Storn 1.2 (klik pautan untuk lebih maklumat di laman 3Dmark).

screenshot_549 screenshot_548

Jika dilihat markah-markah secara terperinci, markah yang diperoleh sememangnya tinggi dan pada tetapan grafik yang tinggi, ia masih berupaya untuk menjana gambar pada kadar FPS yang tinggi. Akan tetapi, jika dilihat pada beberapa ujian seperti Ice Storm 1.2 dan juga Cloud Gate 1.1, markah yang diperoleh tidak jauh berbeza dari AMD Sapphire R9 290 Tri-X 4GB yang pernah kami uji sebelum ini. Malahan, markah-markah ujian yang lain juga tidak menampakkan perbezaan yang ketara meskipun kad grafik ini mempunyai 8GB RAM.

Sepanjang pengujian ini berlaku juga, boleh dikatakan kad grafik ini berfungsi tanpa mengeluarkan bunyi bising yang melampau. Pada badan kad grafik ini juga terdapat tulisan jenama Sapphire yang berlampu mengikut tahap kepanasan kad grafik ini jadi semasa pengujian warnanya turut berubah dari biru kepada kuning.

 

Kesimpulan

Meskipun dengan penambahan RAM sebanyak dua kali ganda lebih dari R9 290 Tri-X, boleh dikatakan perbezaan markah antara kedua kad grafik ini tidak terlalu jauh. Salah satu permasalahan adalah dengan penambahan RAM ini juga ia melibatkan kos untuk memilikinya. Kad grafik ini berharga RM 1,700+, lebih RM 200 dari kad grafik yang telah kami ulas sebelum ini. Namun jika anda seorang yang inginkan kad grafik yang boleh menyokong permainan pada masa akan datang yang lebih memerlukan spesifikasi tinggi atau yang memerlukan memori sebanyak 8GB RAM, mungkin kad ini lebih sesuai untuk anda.

Pro

  • Kad grafik yang senyap dan menjamin prestasi yang tinggi
  • Kemasan papan sirip penyejuk dibelakang yang bergaya
  • Kad yang boleh menyokong permainan yang memerlukan spesifikasi grafik yang lebih tinggi dari segi RAM.

Kontra

  • Pada perbezaan harganya dengan AMD Sapphire R9 290 Tri-X, prestasinya tidak jauh beza.

  • Info
  • Khas untuk anda, kami akan berikan set ulasan dari AMD Malaysia ini kepada salah seorang daripada anda yang bertuah. Cuma tinggalkan komen menjawab dua soalan mengatakan apa perbezaan R9 290X Vapor-X dan R9 290 Tri-X dan mengapa anda inginkannya, dan berdasarkan pada pilihan nombor rawak disertakan komen paling menarik akan memenanginya.

    • P/SSet ulasan adalah set yang telah dibuka oleh kami untuk tujuan ulasan dan telah digunakan buat sementara waktu.
    • Komen dalam bahasa Malaysia sahaja yang akan dipilih sebagai pemenang. Komen sebelum 6 Oktober 2015, pada pukul 2359 sahaja akan dikira.
    • Komen dalam bentuk video atau gambar tidak dibenarkan.
    • Hanya akan dihantar ke alamat di dalam Malaysia sahaja.
    • Alamat emel yang digunakan ketika menghantar komen akan digunakan untuk tujuan menghubungi pemenang yang terpilih.

Skor Amanz 2015 - Markah - AMD Radeon R9l

  • Info
  • Kemaskini 3 Disember 2015: Pemenangnya adalah Farhan
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd