Cradle – Bagaimana Ia Bermula?

Cradle – Bagaimana Ia Bermula?

Diterbitkan pada Sep 26, 2015 oleh .

Bagi anda yang terlibat dalam arena startup, nama Cradle mungkin bukan sesuatu yang asing. Cradle terlibat dalam arena membuat pelaburan dana awal bagi membolehkan para usahawan dalam merealisasikan idea mereka menjadi sesuatu yang boleh dikomersialkan.

Tunggak utama di sebalik Cradle adalah saudara Nazrin Hassan yang mana telah bersama Cradle sejak ia dimulakan sehinggalah pada hari ini. Pada awalnya Nazrin Hassan merupakan seperti usahawan yang lain hadir dengan idea beliau tersendiri untuk membangunkan syarikat baru beliau.

Nazrin Hassan

Untuk membawa idea beliau setapak kehadapan, Nazrin telah menyertai sebuah pertandingan idea perniagaan peringkat kebangsaan yang diadakan pada tahun 2001 yang lepas, dan memenangi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Namun, agak mendukacitakan kerana idea beliau tidak mendapat sebarang dana daripada pelabur ketika itu memandangkan ramai syarikat dan pelabur ketika itu tidak membuat pelaburan pada peringkat awal atau pre-seed. Ini membuatkan ramai syarikat tidak dapat bergerak kehadapan kerana tiada sokongan pada peringkat awal.

Menyedari masalah ini, Nazrin mula menulis di beberapa akhbar tempatan berkenaan dengan masalah dana untuk membangunkan syarikat pada peringkat awal ini. Selepas menulis beberapa artikel, presiden untuk persatuan TeAM menjemput Nazrin untuk menyertai pasukan TeAM (Technoprenuer Association of Malaysia). Pada awalnya, Nazrin menolak jemputan tersebut, tetapi selepas beberapa kali – dan melihatkan beliau boleh mengetengahkan masalah ini pada peringkat kebangsaan melalui persatuan berkenaan, Nazrin akhirnya menyertai persatuan TeAM.

Nazrin menyertai TeAM ketika itu sebagai Chairman of Funding and FInance Comitee pada tahun 2001 yang lepas. Selepas menyertainya, beliau bergerak lebih aktif dalam mengetengahkan masalah berkaitan dana untuk peringkat awal ini pada peringkat kebangsaan. Lebih kurang selama 2 tahun Nazrin dan pasukan beliau melobi pada kerajaan untuk perkara ini, dan seterusnya pada 8 Mei 2003, Nazrin diberi peluang untuk membentangkan idea beliau berkenaan dengan ini di hadapan Tun Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Sebulan selepas Nazrin membuat pembentangan dihadapan Perdana Menteri, beliau diberi Mandat melalui MAVCAP untuk menguruskan dana pelaburan untuk syarikat pada peringkat awal.

Lanjutan daripadanya, Cradle telah terbentuk, dimana ia beroperasi dibawah MAVCAP, dan ketika itu Nazrin membangunkan Cradle bersama dua lagi rakan dan juga bekas presiden TeAM, iaitu Farith Rithaudin daripada Skali dan juga Chris Chan daripada TMS Asia.

Ketika peringkat awal Cradle beroperasi, mereka menawarkan dana sehingga RM50,000 untuk sebarang idea yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan. Berbeza dengan MAVCAP ketika itu yang memfokuskan kepada pelaburan untuk kajian, Cradle yang beroperasi dibawahnya lebih memfokuskan kepada menjayakan sesuatu idea yang ingin dibangunkan usahawan tempatan.

Nazrin Hassan

Selepas beroperasi dibawah MAVCAP selama beberapa tahun, Nazrin meninggalkan Cradle pada tahun 2005. Selepas Nazrin meninggalkan Cradle, pencapaian untuk Cradle mengalami sedikit penurunan. Ini membuatkan Kementerian Kewangan memanggil kembali Nazrin untuk mengetuai operasi Cradle. Namun, kali ini ia tidak lagi beroperasi dibawah MAVCAP, sebaliknya ditetapkan sebagai syarikat berasingan dinamakan Cradle Fund Sdn Bhd. Ia telah beroperasi sejak 31 Julai 2007, dan kini telah lebih kurang 8 tahun Cradle Fund Sdn Bhd beroperasi, dan menawarkan dana bukan sahaja pada peringkat awal, tetapi juga turut menawarkan dana untuk tujuan pengkomersialan, mahupun untuk membawa syarikat keperingkat seterusnya melalui bantuan modal teroka.

Dibawah Cradle Fund Sdn Bhd, pelbagai syarikat terkemuka telah menerima dana awal untuk menjayakan idea mereka, dan antaranya adalah termasuk MyTeksi, iPay88, iMoney, FlexiRoam, Carlist, dan juga CatchThatBus.


TIPS & ULASAN