Jika pada tahun lepas, kita melihat startup yang memfokuskan lebih kepada pengangkutan dan juga laman jual-beli atas-talian dibangunkan pembangun dan usahawan tempatan, pada tahun ini di Malaysia menyaksikan beberapa startup yang menawarkan perkhidmatan yang memudahkan pengguna dalam kehidupan seharian. Wujudnya startup seperti ini bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan, dan menyasarkan pelbagai bidang seperti pembantu rumah (MaidEasy), penyewaan lori (TheLorry), penghantaran dobi (LaundryDone), pencarian tiket bas (CatchThatBus), dan sebagainya.
Salah satu startup yang sedikit berbeza penawarannya, tetapi dalam kategori pembantu peribadi dan ingin memudahkan pengguna melaksanakan tugasan atau membeli barangan dan perkhidmatan adalah BeMalas. Perkhidmatan sebegini boleh diumpamakan sebagai ‘pembantu peribadi’ atau lebih tepat iaitu ‘concierge’ – biasanya disediakan untuk golongan berpendapatan tinggi, sebagai contoh pembeli telefon Vertu yang menerima sokongan bantuan peribadi selama 18 bulan tetapi perlu berbelanja berpuluh-ribu ringgit. Menawarkan fungsi yang lebih kurang sama, perkhidmatan daripada BeMalas ini ingin menyelesaikan masalah dan tugasan anda pada harga yang lebih rendah, dan menyasarkan semua pengguna, serta beroperasi melalui penggunaan perkhidmatan permesejan ringkas, SMS.
Beberapa minggu lepas kami telah berkesempatan untuk melawat pejabat BeMalas dan melihat bagaimana gerak kerja mereka serta menemuramah Adlin Yusman dan Suthenesh Sugumaran, pengasas BeMalas. Sehingga kini, mereka telah memenuhi pelbagai permintaan dari pengguna mereka dari seluruh Malaysia.
Berkongsi bagaimana mereka memulakan idea ini, Adlin mengatakan beliau mendapat idea ini ketika menyenarai-pendek iklan pekerjaan semasa bekerja di syarikat yang lain. Menyedari kelecehan dalam menyenarai pendek dari 100 maklumat pekerja menjadi 10 yang terpilih untuk klien beliau, beliau mencadangkan jika proses yang sama dilakukan untuk bidang yang lain. Adlin mencuba perkara tersebut pada penghujung minggu, dan hadir dengan idea BeMalas ini.
Pernah menguruskan permintaan pengguna untuk mengendalikan cincin bernilai RM 30,000
Percubaan Adlin dan Suthenesh membuahkan hasil apabila perkhidmatan BeMalas yang menawarkan untuk memenuhi keinginan pengguna selagi mana ia sah disisi undang-undang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna tempatan. Bermula dari saudara-mara dan kawan-kawan pada bulan April 2015 ini, BeMalas kini telah menerima lebih daripada 400 permintaan dari pengguna yang diproses setiap hari. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu menghantar SMS ke nombor 012-643 1303 dan ‘Malas Manager’ akan berhubung dengan pengguna dan membalas sebarang pertanyaan – serta membolehkan pengguna membuat tempahan terus melaluinya.
Dari segi penjenamaan, walaupun nama ‘Malas’ dikaitkan dengan sifat yang negatif, namun sebenarnya untuk menjadi malas, ia memerlukan kos yang tinggi. Seperti contoh, jika pengguna tidak mempunyai masa untuk membersihkan rumah, perlu membayar pembantu rumah untuk membersihkannya. Jika pengguna tidak mempunyai masa untuk menghantar baju ke dobi, mereka perlu mengupah orang lain untuk melakukannya. Kesemua kos tersebut memerlukan masa, dan salah satu benda yang boleh diniagakan adalah dengan wang. Perkhidmatan BeMalas ini memudahkan tugasan harian pengguna sekaligus membolehkan seseorang menyelesaikan tugasan mereka dengan pantas.
Dari segi operasi, mereka beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 petang dan bermula bulan Oktober ini mereka akan melanjutkan waktu operasi mereka sehingga malam. Terdapat dua krew utama di dalam syarikat mereka yang dipanggil ‘Malas Manager’ dan ‘Rajin Runner’. Seperti namanya, ‘Malas Manager’ akan berhubung dengan pengguna dan menetapkan harga. Untuk harga perkhidmatan, akan terdapat caj ‘Lazy Fee’ – sekitar 10-15% caj akan dikenakan terhadap urusan yang ditempah. Caj ini juga termasuklah caj lain seperti GST, caj penghantaran, caj pembayaran kad kredit dan sebagainya, bergantung kepada barangan atau perkhidmatan yang ditempah. Salah satu kelebihan adalah ‘Lazy Fee’ boleh dirunding antara pengguna dengan ‘Malas Manager’, dan ia bukanlah caj yang tetap.
Lazy Fee, Malas Manager, Rajin Runner
‘Rajin Runner’ pula akan menguruskan permintaan serta menghantarkannya kepada pengguna. Terdapat satu lagi tahap dikalangan ‘Rajin Runner’ iaitu ‘Elite Valet’, iaitu pekerja terpilih untuk mengendalikan barangan yang berisiko tinggi. Barangan yang berisiko tinggi biasanya adalah yang berharga mahal – sebagai contoh, BeMalas pernah mendapat permintaan untuk menggilapkan cincin permata yang bernilai RM30,000.
Oleh kerana bukan sebarang orang boleh mengendalikan barangan tersebut, ‘Elite Valet’ adalah pekerja yang dipertanggungjawabkan menguruskannya. Kepercayaan pengguna merupakan salah satu keutamaan BeMalas, kerana dengan pengguna yang percaya sedikit sebanyak akan memberikan lebih banyak pulangan kepada BeMalas.
Sewaktu awal mereka menubuhkan syarikat ini, mereka sendiri menguruskan tempahan sehinggalah Be Malas menerima dana pada bulan Julai yang lalu hasil dari pelaburan bersama Cradle dan KK Fund bernilai USD 500,000 (~ RM 1.9 Juta pada tarikh pelaburan diterima). Pelaburan tersebut telah digunakan untuk meluaskan kawasan operasi. Sehingga kini BeMalas telah mula beroperasi di seluruh Malaysia, dan juga di bandar utama yang lain seperti Singapura, Brunei, Vietnam dan juga Hong Kong. Mereka juga mempunyai rancangan untuk meluaskan perkhidmatan mereka di bandar Melbourne, Australia namun mungkin akan menangguhkannya berikutan sambutan yang lebih menggalakkan untuk pengguna tempatan dan Singapura. Di negara selain Malaysia, mereka menggunakan nama ‘BeLazee’ dengan penawaran perkhidmatan yang sama.
Adlin juga turut berkongsi dalam memenuhi kehendak pengguna, keseluruhan warga kerja BeMalas juga secara tidak langsung mengetahui akan sesuatu perkara yang baru. Seperti contoh burger yang sedap di sesuatu kawasan, dan juga kek cawan terhebat di Singapura. Malah apabila mempromosikan kedai tersebut, secara tidak langsung BeMalas juga telah mempopularkan kedai tersebut dan membantu perniagaan yang kurang liputannya di alam digital. BeMalas turut berusaha untuk memperkenalkan dan mencari produk yang baik tetapi tidak diketahui ramai.
Mungkin dengan pencapaian BeMalas dalam mendapatkan dana bernilai USD 500,000 boleh menjadi batu loncatan dalam mengembangkan lagi perkhidmatan mereka ke lebih banyak negara mahupun bandar sekaligus menjadikan mereka satu lagi startup yang bakal menyinar di persada antarabangsa selepas MyTeksi / GrabTaxi.
Selain BeMalas, terdapat beberapa perkhidmatan tempatan lain yang menawarkan perkhidmatan lebih kurang sama, dan salah satu yang telah dilancarkan baru-baru ini adalah Helpr.
- Layari: Be Malas