Pandang Pertama : Xiaomi Mi 4c

Pandang Pertama : Xiaomi Mi 4c

Diterbitkan pada Sep 28, 2015 oleh .

Xiaomi merupakan salah satu jenama peranti popular yang telah mula menempah nama sejak daripada penawaran Xiaomi Mi3 yang ditawarkan pada harga jauh lebih rendah daripada pesaing lain. Sejak daripadanya, beberapa peranti lain telah diperkenalkan – termasuk Mi4, Mi4i dan juga Mi Note. Namun, ia tidak begitu menarik perhatian ramai, dan pihak Xiaomi ingin cuba menarik perhatian ramai kembali melalui Mi4c.

Xiaomi Mi 4c hanya dilancarkan untuk pasaran China sahaja buat masa ini, dan pihak Xiaomi mengatakan mereka masih tiada sebarang perancangan untuk menjualnya di negara luar China buat masa ini.

Xiaomi Mi 4c secara kasarnya membawakan rekaan yang sama seperti Xiaomi Mi 4i, tetapi menawarkan spesifikasi yang lebih baik, disamping menyertakan pelbagai ciri-ciri dan fungsi tambahan.


Xiaomi Mi 4c menggunakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD penuh. Pada saiz skrin 5-inci, ia membawakan peranti yang sangat selesa digunakan pada tangan. Apatah lagi dengan rekaan peranti yang nipis, dan penggunaan kerangka polikarbonat. Xiaomi turut menyertakan teknologi Sunlight Display pada Xiaomi Mi 4c ini, membolehkan pengguna kekal menggunakan peranti pada keadaan cahaya matahari terang – tanpa risau akan kesilauan pada skrin.

Xiaomi Mi 4c
Skrin 5.0-inci HD
Pemproses Snapdragon 808 1.8Ghz
RAM 2/3 GB
Muatan Dalaman 16/32 GB
Kamera Utama 13-megapixel
Kamera Hadapan 5-Megapixel
Bateri 3080mAh
Lain-Lain USB Type-C, Edge Tap

Xiaomi Mi 4c dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 808, yang mana boleh dikategorikan sebagai cip berspesifikasi tinggi pada tahun ini. Penggunaan cip pemprosesan ini membawakan penawaran yang lebih berkali ganda berkuasa jikalau dibandingkan dengan penggunaan cip Snapdragon 615 sahaja pada Xiaomi Mi 4i sebelum ini.

Dalam usaha menawarkan peranti ini pada harga mampu-milik kepada pengguna, Xiaomi Mi 4c hadir dalam dua variasi pilihan, iaitu menggunakan memori 2GB RAM dan 16GB storan, ataupun 3GB RAM dan 32GB storan. Seperti Xiaomi Mi 4i sebelum ini, tiada sokongan kad mikro-SD yang disertakan pada telefon pintar ini, tetapi sebaliknya Xiaomi menyertakan sokongan dwi-SIM 4G LTE pada telefon pintar ini.

Untuk penggunaan bateri, Xiaomi Mi 4c menggunakan bateri berkapasiti 3080mAh – sedikit kecil berbanding dengan Xiaomi Mi 4i, berkemungkinan kerana rekaan cipset Snapdragon 808 yang berbeza (atau mungkin sedikit besar). Memandangkan ia menggunakan cip Snapdragon daripada Qualcomm, ia turut hadir dengan penggunaan teknologi Quick Charge 2.0 yang membolehkan pengguna mengecas peranti dengan pantas berbanding kebiasaan.

Xiaomi Mi 4c menggunakan rekaan kerangka yang tidak boleh ditanggalkan – menjadikan baterinya tidak boleh ditanggalkan. Untuk mengeluarkan kad-SIM, pengguna perlu menggunakan pin, seperti pada beberapa telefon pintar lain pada hari ini. Memandangkan rekaan Mi 4c tidak jauh berbeza dengan Mi 4i, maka pengguna boleh menggunakan beberapa aksesori untuk Mi 4i pada Mi 4c ini, kecual ruangan pengecasan dan juga kerangka yang menutup bahagian IR Blaster.

Satu lagi penawaran menarik melalui Xiaomi Mi 4c ini adalah penyertaan sokongan IR padanya, membolehkan pengguna menggunakan ia bersama-sama sejumlah peralatan elektronik lain di rumah. Sebagai contoh, ia boleh digunakan untuk mengawal televisyen, perakam media, penghawa dingin – mahupun bersama-sama perkakasan Xiaomi lain, seperti Mi Box. Penggunaan IR Blaster pada peranti masih tidak digunakan sepenuhnya oleh ramai pengguna, tetapi masih terdapat sejumlah pengguna yang inginkan penyertaan teknologi ini pada peranti mereka, sekaligus memudahkan lagi mereka menguruskan alat kawalan jauh dirumah.


USB Type-C Dan IR Blaster

USB Type-C merupakan salah satu trend semasa pengeluar peranti dan dijangka akan digunakan secara meluas oleh semua pengeluar bermula tahun hadapan – apatah lagi dengan Google sendiri mengumumkan sokongan rasmi untuknya melalui Android. Xiaomi Mi 4c menjadi telefon pintar pertama daripada Xiaomi yang hadir menggunakan port pengecasan berasaskan USB Type-C ini.

Xiaomi menawarkan kabel USB Type-C bersama-sama pembelian telefon pintar ini, tetapi pada masa yang sama, dongle kepala mengubah mikro-USB kepada USB Type-C turut dijual oleh Xiaomi pada harga yang rendah. Ini membolehkan pengguna mendapatkannya dan menyimpanya untuk digunakan bersama-sama beberapa kabel pengecas lain. Penggunaan kabel USB Type-C masih terhad pada hari ini, membuatkan pengguna mungkin menghadapi masalah jika ingin berkongsi kabel daripada powerbank kawan-kawan dan sebagainya, tetapi dengan penawaran dongle untuk USB Type-C, Xiaomi dilihat ingin mengurangkan masalah berkenaan.


Edge Tap Dan Dwi-Tap Aktifkan Skrin

Xiaomi Mi 4c

Pada Xiaomi Mi 4c juga, pihak Xiaomi menyertakan sebuah lagi fungsi baru khusus untuk peranti ini. Fungsi baru ini dinamakan sebagai Edge Tap, dimana pengguna boleh tap pada bahagian tepi kerangka untuk menggunakannya sebagai butang Back. Seperti ramai sedia maklum, ketika menggunakan sesebuah aplikasi, ia lebih mudah untuk tap pada bahagian tepi peranti daripada mencapai ke butang Back yang terletak pada bahagian bawah peranti.

Penggunaan Edge Tap ini boleh digunakan pada bahagian kiri atau kanan, dan pengguna perlu menggunakan buku jari, dan bukannya penghujung jari.

Selain daripada Edge Tap, satu lagi sokongan baru yang turut disertakan pada Xiaomi Mi 4c adalah kebolehan untuk dwi-tap untuk mengaktifkan skrin. Fungsi dwi-tap untuk mengaktifkan skrin ini telah ditawarkan pada pelbagai peranti, dimana ketika peranti anda berada dalam keadaan skrin tertutup, anda hanya perlu dwi-tap pada atas skrin, dan ia akan mengaktifkannya. Fungsi ini boleh digunakan sebagai alternatif atau boleh dikatakan lebih mesra pengguna daripada mencapai kepada butang kuasa.

Xiaomi Mi 4c Edge Tap


Kamera Dengan Sokongan Rakaman 4K

Xiaomi Mi 4c Kamera

Pada hari ini, selain daripada kuasa pemprosesan yang tinggi, salah satu perkara yang turut menjadi fokus utama untuk para pengguna sebelum mereka membeli sesuatu peranti adalah kamera yang ditawarkan bersama-sama dengannya. Xiaomi sebelum ini melalui pelbagai peranti mereka telah sedia mengoptimasikan penggunaan kamera mereka, dan perkara ini diteruskan bersama-sama Xiaomi Mi 4c.

Xiaomi Mi 4c menggunakan kamera belakang 13-megapixel dan juga kamera hadapan 5-megapixel. Seperti biasa, beberapa mod rakaman turut disertakan termasuk fungsi Time-lapse dan juga Slow-motion. Bagi anda yang inginkan lebih kawalan untuk rakaman gambar, mod rakaman manual turut disertakan bersama-sama Xiaomi Mi 4c ini.


Sistem Operasi MIUI7

Xiaomi sebelum ini telah mengumumkan sistem operasi terbaru berasaskan Android daripada mereka, iaitu MIUI7. MIUI7 masih ditawarkan dalam bentuk beta untuk beberapa peranti Xiaomi yang lain – tetapi daripada penawaran out-of-the-box, Xiaomi Mi 4c menjadi antara yang terawal hadir bersama-sama dengannya.

Dengan menggunakan sistem operasi terbaru ini, Xiaomi Mi 4c turut menyertakan beberapa fungsi tambahan, termasuk pilihan saiz skrin ketika mengaktifkan One-handed Mode, fungsi Child mode untuk mengehadkan aplikasi yang diakses kanak-kanak, dan juga beberapa yang lain. Pengguna kini boleh menetapkan video beberapa saat untuk gambar profil di buku alamat, selain MIUI7 turut menyertakan kemaskini antaramuka yang minima padanya.

Xiaomi Mi 4c MIUI7

Xiaomi Mi 4c MIUI7


Secara keseluruhan, daripada penggunaan kami untuk Xiaomi Mi 4c untuk beberapa ketika, ia menawarkan prestasi penggunaan yang jauh berkali ganda lebih baik berbanding dengan Xiaomi Mi 4i sebelum ini.

Pada penawaran spesifikasinya, Xiaomi mungkin memenangi kembali hati lebih ramai pengguna dengan harga jualan bermula RMB1299 (~RM896).

Daripada perbualan kami bersama pihak Xiaomi, mereka mengatakan Xiaomi Mi 4c buat masa ini lebih tertumpu untuk jualan di China sahaja, dan mereka masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk menjualnya pada peringkat global. Namun, perkara ini mungkin boleh berubah dalam masa beberapa bulan lagi – bergantung kepada kebolehan Xiaomi untuk memenuhi permintaan pasaran.


TIPS & ULASAN