Cari @ Amanz

NASA hari ini telah membuat pengumuman salah satu penemuan menarik pada ekspedisi mereka di Marikh, mengatakan mereka telah menemui bukti memperlihatkan cecair seperti air mengalir pada permukaan planet berkenaan.

Perkara ini sekaligus memberikan petanda yang mana Marikh bukanlah sebuah planet yang kering-kontang, sebaliknya mempunyai sumber pengaliran air. Ini sekaligus mungkin menjadikan planet berkenaan mesra dengan kehidupan.

Planet Marikh

Menurut NASA, pengaliran air di Marikh bukanlah dalam bentuk sungai atau laut seperti di Bumi. NASA mengatakan mereka masih tidak menemui ia secara fizikal, sebaliknya daripada rakaman data yang dikumpulkan selama bertahun, ia menunjukkan pembentukkan cerun dan jalur berwarna gelap yang hadir dan hilang pada sesuatu tempoh masa.

Pada permukaan planet Marikh, sebelum ini beberapa mineral telah ditemui, termasuk perklorat yang mana merupakan sejenis garam yang membolehkan ia mengurangkan suhu sejuk beku dan mengurangkan kadar pengewapan cecair. Daripada penemuan NASA, bahagian jejalur cerun ini mempunyai mineral seperti perklorat dalam kadar yang tinggi – sekaligus memberikan petanda yang mana pengaliran air masin berlaku di sana.

NASA masih mempunyai pelbagai kajian untuk dilakukan pada planet Marikh ini termasuk sumber kepada pengaliran ini.

Disamping itu, NASA mengatakan penemuan ini juga membolehkan mereka memilih lokasi yang tepat ketika menghantar angkasawan ke ekspedisi planet berkenaan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd