Dengan perkembangan teknologi, salah satu perkara yang menjadi permintaan tinggi dikalangan pengguna adalah akses internet yang lebih pantas. Ramai pihak telah mengutarakan berkenaan perkara ini.
Menjawab mengenainya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengatakan rakyat Malaysia lebih menyukai pakej internet berkelajuan rendah kerana berharga rendah berbanding dengan pakej berkelajuan tinggi.
Menurut beliau, lebih kurang 71% pengguna internet di Malaysia memilih pakej Streamyx berkelajuan antara 384 Kbps ke 1Mbps berbanding penawaran pakej lain yang menawarkan harga sehingga 50Mbps.
Ia dikatakan kerajaan memfokuskan kepada kelajuan internet, penawaran dan kadar mampu-milik untuk pengguna. Kerajaan menyasarkan kadar penembusan internet di Malaysia mencapai 95% menjelang tahun 2020 kelak. Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengatakan mereka ingin memastikan lebih kurang 50% kawasan bandar diliputi kelajuan sekurang-kurangnya 100Mbps, dan 20% kawasan pedalaman turut diliputi kelajuan sama menjelang 2020.
Namun, ia tidak diketahui lagi bagaimanakah harga tawaran untuk pakej ini kelak. Mungkin juga pihak kementerian sendiri perlu mengatasi masalah pakej internet yang mahal ini dengan mengurangkan harga pakej asas ataupun harga pakej untuk jalur-lebar berkelajuan tinggi supaya lebih mesra rakyat – apatah lagi dengan internet yang kini menjadi salah satu keperluan. Disamping itu, mungkin juga kerajaan perlu menetapkan kadar kelajuan minimum seperti sekurang-kurangnya 1Mbps untuk pakej asas internet.