Carian
HTC
HTC One M9+ Versi Baru Diumumkan Dengan Kemaskini Pada Bahagian Kamera – Menyertakan 21MP OIS Laser-Autofocus
September 29, 2015 Aman

Pada HTC One M9+ versi sedia ada yang telah dijual di pasaran sejak beberapa bulan yang lepas, salah satu perkara yang mengecewakan ramai adalah penggunaan sensor kamera belakang yang tidak menawarkan kemampuan optik setanding flagship lain. Menyedari masalah ini, hari ini di Taiwan, HTC mengumumkan kemaskini kepada keluarga HTC One M9+ dengan penawaran versi baru.

HTC One M9+ baru ini diumumkan bersama-sama dengan pengenalan HTC Butterfly 3 untuk pasaran global.

One M9+20150417_120851

HTC One M9+ ini kini hadir dengan kamera belakang 21-megapixel, serta menyertakan lensa 26.7mm, serta aperture f/2.2. Ia masih membawakan sokongan HTC Duo Camera pada bahagian belakang, dan dalam usaha menawarkan fungsi autofokus yang pantas, HTC melengkapkan kamera belakang ini dengan sokongan Laser Auto Focus. Fungsi lain yang turut disertakan adalah sokongan PDAF (phase-detection auto-focus) dan juga sokongan penstabilan imej optikal (OIS).

Selain daripada kamera belakang, pelbagai perkara lain adalah masih kekal serupa, termasuk rekaan peranti, penggunaan skrin bersaiz 5.2-inci dengan paparan Quad HD, cip MediaTek Helio X10 2.2Ghz, memori 3GB RAM, ruangan storan 32GB, dan kamera hadapan HTC Ultrapixel.

Telefon pintar ini akan dijual di Taiwan bermula pertengahan bulan Oktober 2015 ini. HTC masih tidak mengumumkan jualannya untuk pasaran global buat masa ini.

Komen