Masalah jerebu yang kronik kini sudah berlarutan lebih dari sebulan. Kualiti udara masih lagi di tahap kurang memuaskan sungguhpun hujan selama tiga hari berturut-turut. Sebagai seorang bapa dengan bayi kecil, masalah jerebu ini menyebabkan saya tidak lagi keluar rumah. Bayi kecil amat sensitif kepada pencemaran dan amat mudah jatuh sakit. Di Indonesia sudah ada laporan kematian bayi akibat masalah pernafasan. Setakat ini tidak ada topeng muka yang direka khas untuk kegunaan bayi. Kalau ada sekalipun anak kecil akan cepat menanggalkannya dari muka kerana tidak selesa. Oleh itu lebih baik berkampung di dalam rumah dari keluar dan berjudi dengan kesihatan anak.
Air Shield ialah konsep kereta sorong yang saya mahu wujud sekarang. Ia mempunyai penutup yang menapis pencemaran udara dan menghalang sinaran cahaya UV. Pada waktu yang sama penutup ini juga mengurangkan pencemaran bunyi dari merosakkan telinga bayi. Bayi akan lebih mudah tidur nyenyak ketika di luar. Jeritan kanak-kanak lain di restoran tidak akan membuatkan mereka terkejut. Air Shield ialah konsep yang dihasilkan oleh Dominykas Budinas yang berasal dari Lithunia untuk pertandingan Elekctrolux Design Lab 2015.