Cari @ Amanz

Perkhidmatan penstriman lagu dari Apple iaitu Apple Music yang telah dilancarkan pada 30 Jun lalu akan ditamatkan percubaan secara percuma pada malam ini, 30 September 2015. Salah satu perkara yang harus anda ketahui sebagai seorang pengguna peranti iOS adalah sekiranya anda tidak berminat dengan perkhidmatan ini, anda perlu menghentikan langganannya dengan sendiri.

Jika anda tidak menghentikan langganannya pada hari ini, anda perlu membayar USD 3.99 dan dengan kadar tukaran matawang yang semakin merudum, ia mungkin akan merugikan anda jika anda tidak menghentikan langganan yang tidak diperlukan ini.Disini kami kongsikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghentikan langganan Apple Music.

1- Settings > App and iTunes Stores > View Apple ID > Manage

Apple-Music-subscription-1

Langkah pertama yang perlu diambil adalah anda perlu pergi ke halaman tetapan ‘Settings’ dan mencari tetapan untuk ‘App and iTunes Stores’. Disini akan terdapat beberapa pilihan berkenaan Apple ID yang digunakan untuk tujuan pembelian. Klik pada ‘Apple ID’ tersebut dan seterusnya pada ‘View Apple ID’. Di halaman akaun ini, klik pada ‘Manage’ dan anda juga boleh menguruskan bukan sahaja langganan Apple Music, malahan sebarang langganan yang turut dilakukan menerusi pembelian dalam aplikasi.

2- Subscriptions > Apple Music Membership > Automatic Renewal > Turn Off

Apple-Music-subscription-2

Meneruskan pada langkah seterusnya, pada halaman langganan ‘Subscription’ pilih ‘Apple Music Membership’ yang masih aktif. Disini anda juga boleh mengubah sekiranya anda berhasrat untuk menggunakan langganan keluarga untuk Apple Music yang membolehkan sehingga 6 ahli keluarga lain menggunakannya pada harga USD 5.99 berbanding langganan perseorangan yang berharga USD 3.99. Jika anda sudah pasti untuk menghentikan perkhidmatan langganan Apple Music ini, hanya tekan pada butang tersebut untuk menghentikannya, sekaligus kad kredit yang digunakan bersama akaun Apple anda tidak akan dicaj selepas 30 September ini.

Selain dari langganan Apple Music, terdapat langganan muzik lain seperti Spotify, Deezer, Tidal, Joox, dan banyak lagi malahan, bergantung pada pilihan pelan telekomunikasi anda, mungkin anda sebenarnya telah mempunyai perkhidmatan tersebut secara percuma seperti Spotify untuk pelanggan Maxis dan juga Deezer untuk Digi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd