Terjemahan Masa-Nyata Untuk Skype Mula Diperkenalkan Kepada Semua Pengguna Skype Untuk Windows

Terjemahan Masa-Nyata Untuk Skype Mula Diperkenalkan Kepada Semua Pengguna Skype Untuk Windows

Diterbitkan pada Okt 1, 2015 oleh .

Skype telah memperkenalkan fungsi Skype Translator pada penghujung tahun 2014 lepas, membolehkan pengguna melihat terjemahan masa-nyata untuk panggilan video dan teks melalui Skype. Setelah sekian lama ditawarkan dalam bentuk preview untuk pengguna, bermula hari ini, ia secara rasminya mula diintegrasikan pada perisian desktop Skype untuk Windows.

Menggunakan fungsi Skype Translator ini, ia membolehkan pengguna membuat terjemahan daripada enam bahasa yang dibacakan – iaitu Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Mandarin dan juga Sepanyol, selain turut menikmati terjemahan teks untuk lebih 50 bahasa.

Skype Translator Mandarin

Melalui Skype Translator, pihak Microsoft mengatakan ia membolehkan pengguna berinteraksi dengan lebih ramai pengguna seluruh dunia – tanpa mempunyai sebarang masalah interaksi disebabkan oleh bahasa.

Teknologi disebalik Skype Translator membolehkan ia pelajari daripada pengguna setiap hari – sekaligus menambah-baik penawaran fungsi tersebut dari hari ke hari. Sebagai contoh, pada awal penggunaan ia mungkin mempunyai masalah mengenal pasti perkataan yang disebutkan anda, tetapi bertambah baik pada hari-hari seterusnya.

Fungsi ini pada Skype untuk Windows akan diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna Windows 7, Windows 8 dan juga Windows 10. Skype masih belum memberikan petanda bilakah fungsi sama akan hadir ke platform mereka yang lain.

Muat-Turun Skype untuk Windows


TIPS & ULASAN