Pada masa kini, terdapat pelbagai peranti elektrik dan elektronik yang menggunakan gelombang radio, sejajar dengan evolusi komunikasi yang tidak memerlukan wayar. Secara kasarnya bagi satu isi rumah, berkemungkinan sehingga 10 jenis peranti yang mengeluarkan gelombang iaitu telefon pintar, tablet, televisyen, router, pemancar TV satelit, telefon, radio, dan pelbagai lagi. Meskipun jenis gelombangnya mungkin berbeza, dengan penambahan peranti sebegini boleh menyebabkan gangguan frekuensi terjadi.
Gangguan frekuensi merupakan satu fenomena dimana apabila salah satu peranti diaktifkan, peranti yang lain mengalami gangguan. Seperti contoh televisyen yang menggunakan jenis tiub seringkali mengalami gangguan sewaktu mesin pengisar makanan dan pengering rambut digunakan. Namun salah satu gangguan frekuensi yang diketahui ramai yang berlaku pada skala yang besar adalah sewaktu Steve Jobs mendemonstrasikan iPhone 4 dimana ia tidak berfungsi seperti yang diinginkan.
Apa yang terjadi adalah lebih dari 570 pemancar WiFi mudah-alih yang digunakan oleh wartawan bagi melakukan liputan acara tersebut dan pada kawasan seluas dewan, ia menyebabkan kesesakan frekuensi, sekaligus menyusahkan Steve Jobs untuk mendemonstrasikan fungsi pada iPhone 4. Wartawan yang bertugas membuat liputan terpaksa menghentikan sambungan WiFi bagi membolehkan demonstrasi diteruskan seperti biasa.
Bagi pengguna tempatan, pengguna disarankan menggunakan peranti-peranti yang telah berdaftar dengan MCMC. Peranti yang berdaftar dengan MCMC merupakan peranti yang menggunakan spektrum yang dibenarkan dan tidak akan mengganggu peranti-peranti yang lain. Peranti yang mengganggu frekuensi adalah seperti peranti tidak disahkan seperti sistem pemantauan CCTV dan peranti yang boleh menyambung set dekoder ASTRO ke televisyen kedua.
Penggunaan peranti yang tidak menepati standard piawaian MCMC merupakan salah satu kesalahan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Dibawah peruntukan akta ini,
– Seksyen 157 melarang penggunaan spektrum tanpa kebenaran,
– Seksyen 238 tidak membenarkan pemancaran daripada kelengkapan atau peranti yang tidak menepati piawaian standard, dan
– Seksyen 239 tidak membenarkan penggunaan, pemilikan atau pembekalan kelengkapan atau peranti tidak menepati piawaian standard yang tidak dibenarkan.
Penggunaan peranti yang tidak menepati standard piawaian MCMC juga boleh mengganggu perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan. Seperti contoh jika ada peranti tidak disahkan yang menggunakan spektrum frekuensi Wimax iaitu 2.3Ghz, peranti tersebut boleh mengganggu perkhidmatan Wimax yang dimiliki P1, dan YES4G. Gangguan frekuensi terhadap perkhidmatan yang telah diiktiraf oleh MCMC merupakan satu kesalahan undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah.
Untuk siri artikel yang akan datang, kita akan mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana penggunaan peranti yang tidak menepati standard piawaian ini boleh mengganggu frekuensi peranti-peranti yang lain.
Penafian: Artikel ini dibawakan oleh P1