Tower Hawk – Sistem Pengawal Robotik Untuk Kem Tentera Sedang Diuji

Tower Hawk – Sistem Pengawal Robotik Untuk Kem Tentera Sedang Diuji

Diterbitkan pada Okt 5, 2015 oleh .

Di dalam permainan komputer penggunaan sistem senjata automatik untuk mengawal kawasan terlarang adalah perkara biasa. Di dalam Command and Conquer Red Alert sistem mesingan automatik memusnahkan musuh dengan pantas apabila mereka menceroboh. Sistem pengawal robotik fiksyen sains ini kini semakin hampir menjadi kenyataan dan sedang dicuba oleh tentera darat Amerika Syarikat.

Tower-Hawk-System-1

Tower Hawk System ialah pengawal kem tentera robotik yang hanya memerlukan dua anggota tentera mengawal kawasan yang sebelum ini memerlukan 10 orang anggota tentera. Ia mampu berputar 360 darjah dan dilengkapi senjata utama mesingan 50 kaliber Browning M-2. Senjata sekunder senapang penembak curi 338 Lapua ataupun peluru berpandu anti kereta perisai FGM-148 Javelin turut boleh dipasang. Sistem robotik ini boleh dikawal secara manual oleh dua orang anggota tentera yang menggunakan alat kawalan Xbox 360. Tower Hawk System adalah sistem pasang siap yang boleh dipasang oleh empat orang anggota tentera dalam masa enam jam. Penggunaan sistem robotik ini akan mengurangkan risiko askar terbunuh akibat serangan bom berani mati yang semakin kerap digunakan di kawasan berkonflik. Ianya juga memastikan anggota tentera tidak membazir masa menjaga pos kawalan yang merupakan tugas paling tidak digemari oleh mereka.

Senjata yang dipasang pada Tower Hawk System boleh mengesan musuh secara automatik menerusi perisian Joint All Hazard Command Control System. Sungguhpun begitu sistem senjata hanya boleh ditembak oleh anggota yang mengawalnya. Sistem kepintaran buatan yang wujud sekarang masih belum dipercayai untuk menghapuskan musuh. Ini adalah berita baik kerana sekurang-kurangnya robot yang boleh membunuh manusia secara automatik masih belum menjadi realiti.

Tower-Hawk-System-2

 


TIPS & ULASAN